HomeIsu tempatanUMS meraikan 43 graduan pascasiswazah bersama penyelia terima anugerah

UMS meraikan 43 graduan pascasiswazah bersama penyelia terima anugerah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 43 graduan pascasiswazah bersama penyelia menerima pelbagai anugerah yang ditawarkan dirai dalam satu Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2021, di Auditorium, Pusat Pengajian Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, semalam.

Majlis anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah dengan kerjasama Pusat Luar UMS (PLUMS), MAP diadakan bersempena Majlis Konvokesyen UMS ke-23 pada 25-27 Jun 2022.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Taufiq dalam ucapannya, berkata, sejajar dengan dasar kerajaan yang lebih telus kepada kehendak dan aspirasi rakyat, semua institusi pengajian tinggi termasuklah UMS disemarakkan dengan budaya pendidikan berasaskan pemupukan rasa kecintaan dan pemerkasaan sikap hormat menghormati.

“Bukan semata-mata mengenai soal menamatkan pengajian lalu dikurniakan dengan segulung ijazah malah ia adalah suatu pengalaman tentang bagaimana mencapai kecemerlangan dan seterusnya menggapai kemenangan dalam perjuangan menuntut ilmu. Tanpa dedikasi dan disiplin serta komitmen dan kesungguhan tidak mungkin kejayaan ini dapat diperoleh,” katanya.

Taufiq turut menegaskan bahawa pengajian di peringkat pascasiswazah seharusnya mampu mempertingkatkan lagi kualiti para pelajar.

“Saya yakin sebagai kumpulan pelajar matang, para pelajar pascasiswazah mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri dalam menamatkan pengajian masing-masing.

“Pandangan dan idea saudara dan saudari selepas ini akan tampak berbeza hasil daripada ilmu dan pengalaman yang diperoleh dari pengajian yang dilalui.

“Pastinya, kejayaan menerima segulung ijazah di pentas Konvokesyen pada 25 Jun 2022 nanti disebabkan para pelajar mempunyai pelan pengajian yang sistematik, terarah dan berfokus.

“Selain itu, saudara dan saudari telah mengikuti segala bimbingan penyelia dengan baik. Segulung ijazah yang anda peroleh hari ini adalah milik anda dan keluarga, tahniah,” ujar Taufiq.

Antaranya, Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Pelajar Terbaik Sarjana Kerja Kursus mengikut Program, Anugerah Tesis Terbaik Sarjana (Sains), Anugerah Tesis Terbaik (Sastera), Anugerah Tesis Terbaik Doktor Falsafah (Sains), dan Anugerah Tesis Terbaik Doktor Falsafah (Sastera).

Turut disampaikan ialah Anugerah Penyelia Terbaik (Sains), Anugerah Penyelia Terbaik (Sastera), Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah (Secara Penyelidikan) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah (Secara Kerja Kursus).

Dalam pada itu, graduan Fakulti Kejuruteraan, Dr. Chung Chin Hing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) dan turut dipilih memberi ucapan wakil graduan pada majlis anugerah berkenaan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

28 Hafiz, Hafizah sertai kategori hafazan pada MTHQNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya