MEASAT-3d : Capai kadar liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KUALA LUMPUR : Satelit MEASAT-3d yang berjaya dilancarkan di French Guiana, Amerika Selatan jam 6.50 petang waktu tempatan (jam 5.50 pagi tadi waktu Malaysia) merupakan satu lagi sejarah tercipta buat negara.

Isyarat telemetri pertama daripada MEASAT-3d itu diterima tepat 6.41 pagi waktu Malaysia sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, kejayaan itu amat signifikan buat negara kerana memungkinkan negara mencapai kadar liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025.

Katanya, ianya juga akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman kepada kadar berkelajuan tinggi seperti rangkaian gentian optik di kawasan bandar.

“Selain itu, perkembangan ini juga sangat penting dalam usaha menjayakan MyDIGITAL dan seterusnya melengkapkan pelaksanaan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Di bawah program JENDELA Fasa Satu, kita mempunyai jangkaan boleh mencapai liputan 4G pada kadar 96.9 peratus yang menghubungkan kawasan berpenduduk. Namun baki 3.1 peratus lagi adalah kawasan yang tidak ekonomik dan hanya boleh dihubungkan menggunakan akses wayarles tetap (FWA) dan satelit,” katanya.

Annuar berkata, teknologi satelit yang dimiliki setakat ini memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti dan kelajuan yang rendah dengan majoriti kurang daripada 10 megabit sesaat (Mbps) iaitu hanya tiga sehingga lima Mbps.

Katanya, satelit MEASAT-3d berkeupayaan memberikan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman antara 30 Mbps sehingga 100 Mbps.

Rombongan Malaysia yang menyaksikan secara langsung pelancaran MEASAT-3d di Guiana, Perancis

“Ini bermakna, dengan pelancaran satelit MEASAT-3d membolehkan penduduk di kawasan pedalaman bukan sahaja dapat menggunakan aplikasi tetapi juga memberikan pengalaman yang sama dengan yang diterima oleh penduduk di kawasan bandar.

“Justeru, saya berharap dengan pelancaran satelit MEASAT-3d ini akan mengembangkan lagi kadar liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet, sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, pelancaran MEASAT-3d itu turut disaksikan  secara langsung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melalui skrin gergasi.

Beliau menyaksikan pelancaran itu bersama kira-kira 600 tetamu yang terdiri daripada kalangan jemaah menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penjawat awam, petugas media dan pelajar yang memenuhi ruang Dewan Merdeka.

Pelancaran MEASAT-3d itu turut disaksikan secara langsung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melalui skrin gergasi.

Satelit MEASAT-3d seberat 5,600 kilogram dibawa ke orbit menggunakan roket Ariane-5 ECA dan berjaya melalui proses pemisahan pada pukul 6.19 pagi tadi.

Dalam pada itu, Sabah dan Sarawak menjadi antara yang diberi penghormatan bagi menyaksikan Pelancaran Satelit MEASAT-3d di Guiana, Perancis pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Rombongan bagi negeri Sabah diketuai Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi  Sabah Datuk Yakub Khan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *