KOTA KINABALU : Masyarakat kini dilihat tidak lagi memandang bekas penghuni penjara sebagai golongan yang disisihkan.
Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu Rosliza Ishak berkata, stigma negatif itu juga dilihat tidak lagi wujud dikalangan masyarakat kini.
“Penerimaan bekas penghuni penjara ke dalam masyarakat dilihat begitu baik dan memberangsangkan pada masa kini.
“Malah, penglibatan syarikat dan penerimaan industri kerja juga telah menunjukkan impak positif melalui statistik dalam program pemulihan penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jalinan Kasih Sempena Hari Raya, Pesta Kaamatan Dan Hari Ibu Bapa Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu di sini kelmarin.
Rosliza berkata, pihaknya berharap agar masyarakat akan terus memberi sokongan kepada golongan terbabit.
“Kehadiran para tetamu hari ini turut membuktikan sudah tidak wujud stigma negatif masyarakat kepada bekas penghuni penjara.
“Amat besar harapan Jabatan Penjara Malaysia agar sokongan seperti ini dari masyarakat akan berterusan dan tidak akan luntur sampai bila-bila,” katanya.
Majlis yang diadakan di Dewan Reflesia Sekolah Integriti Wanita, Penjara Wanita Kota Kinabalu itu dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan 1 Suria, Datuk Raya Erom.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Negeri Sabah, Datuk Katherine Lee Mee Oi.