HomeUtama 3 beranak terjunam dalam sungai ditemui lemas

 3 beranak terjunam dalam sungai ditemui lemas

Read Time:1 Minute, 33 Second

CYBERJAYA — Tiga beranak yang menaiki sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, petang semalam, ditemui lemas awal pagi tadi.

Mayat Mashitoh Ibrahim, 37, yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5, dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi di bahagian belakang kereta terbabit yang tenggelam di dasar sungai berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Syufaat Kamaron, berkata kereta Proton Persona itu ditarik keluar dari dasar sungai pada kedalaman hampir lima meter, dengan bantuan kren sebelum mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan seakan-akan saling berpelukan.

Beliau berkata, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya serta Baling melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan pada jam 6.42 petang berhubung insiden itu.

Katanya, pasukan kemudian berjaya mengesan kedudukan kereta terbabit di dasar sungai berkenaan kira-kira 11 malam tadi.

“Anggota melakukan penandaan di tempat yang dikenal pasti sebelum penyelam daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman, mengesahkan kenderaan itu berada di lokasi.

“Susulan itu, proses menaikkan kenderaan terbabit dilakukan mulai jam 11.30 malam hingga 3.30 pagi tadi. Kereta itu kemudian berjaya dibawa naik ke atas jambatan,” katanya menurut Berita Harian.

Syufaat berkata, mayat Mashitoh berjaya dikeluarkan pada jam 3.32 pagi diikuti kedua-dua anaknya selang dua minit kemudian, dalam operasi yang turut dibantu penduduk kampung, polis, pasukan bomba sukarela (PBS) dan Jabatan Sukarelawan (RELA).

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada mulanya pasukan menghadapi cabaran di mana anggota mengikat rantai besi pada mata kren tetapi ia tercabut akibat arus deras.

Justeru, katanya, cubaan kedua dilakukan dengan melilit rantai besi itu pada tayar kereta dengan lebih ketat sebelum kenderaan itu berjaya dinaikkan.

Difahamkan, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : KEPKAS, syarikat penerbangan bincang agar dapat tetapkan harga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya