HomeUtamaHajiji alu-alukan syor penubuhan Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di DUN Sabah

Hajiji alu-alukan syor penubuhan Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di DUN Sabah

Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan syor Parti Bersatu Sabah (PBS) agar Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan.

Katanya, ini adalah susulan kepada gerak kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan khususunya membabitkan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). 

“Kita harus memastikan setiap langkah yang diatur memacu kita ke hadapan menuju destinasi kemajuan dan kemakmuran. Ini termasuklah menangani isu-isu yang telah diwarisi sekian lama termasuk beberapa perkara yang dibangkitkan seperti isu PATI. 

“Saya akan bawa perkara ini untuk pertimbangan Kabinet Negeri. Namun pra syaratnya semua pihak perlu jujur dan ikhlas untuk mencari solusi segera kepada isu legasi ini dan bertindak demi kepentingan jangka panjang negeri.

“Pada masa yang sama, kita perlu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu mendesak semasa yang melibatkan bebanan sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) kali ke-36 dan ke-37 di Dewan Hakka di sini hari ini.

Hadir sama Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Penasihat Perdana PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, teras perjuangan GRS menerusi Sabah Diutamakan akan menjadi pegangan dalam menyusul dengan teliti setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan di bawah Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan, bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah hak dan kepentingan yang hadir dan terjamin bersama MA63.

“Kita berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan hingga hari ini dan masa depan termasuk pertanggungjawaban yang digariskan di bawah Artikel 8 MA63. 

“Atas sebab itu, kita memutuskan untuk menyertai misi lawatan kerja rasmi yang diketuai Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili ke The National Archives, London baru-baru ini.

“Kita perlu sentiasa memperkukuhkan tuntutan kita dengan fakta dan data yang bersandarkan kepada rekod rasmi. Saya juga melihat inisiatif ini adalah satu pendekatan strategik yang menggabungkan pasukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan termasuk dari Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Katanya, ianya penting bagi membina pemahaman dan membentuk penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat persekutuan bahawa MA63 itu bukan hanya relevan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kerana hakikatnya, MA63 adalah sebuah dokumen milik bersama sebagai kontrak yang memeterai penubuhan Persekutuan Malaysia dan mengikat seluruh warga Malaysia. 

“ Ringkasnya, MA63 adalah sijil kelahiran Persekutuan Malaysia yang bukan sahaja menjadi milik kekal, malah menjadi kitab rujukan buat selama-lamanya. Atas kesedaran itu, kita bersetuju dengan syor untuk menubuhkan pusat rujukan berhubung MA63 dan sekali gus berkaitan sejarah penubuhan Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Agong, Raja Permaisuri ucap Selamat Hari Krismas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular