HomeUtamaKeperluan untuk mengawal keselamatan di Sabah terus diberi keutamaan - Hishammuddin

Keperluan untuk mengawal keselamatan di Sabah terus diberi keutamaan – Hishammuddin

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertahanan mengambil inisiatif baharu bagi memastikan keperluan untuk mengawal keselamatan di Sabah terus diberi keutamaan.

Sehubungan dengan perkara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif baharu itu termasuklah kemudahan-kemudahan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) iaitu sebanyak tiga unit Helikopter MD530G akan ditempatkan di Sabah di bawah pengoperasian Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), manakala sebuah kem baharu bagi tentera darat iaitu Kem Lahad Datu akan dibina di Pantai Timur Sabah. Perancangan mengenainya telah pun dimuktamadkan dan bakal dimulakan pembinaan tahun ini.

Katanya, sebuah kem baharu bagi tentera darat iaitu Kem Paradise, Kota Belud turut akan dibina di Pantai Barat Sabah.

“Dua Pos Imbangan baharu iaitu Pos Luis dan Pos Tibow telah selesai pembinaannya pada bulan Mei. Ia menjadikan jumlah keseluruhan Pos Imbangan yang ada di Sabah ketika ini kepada sembilan buah Pos Imbangan. Sebanyak tiga buah lagi Pos Imbangan turut bakal dibina iaitu satu di Tawau serta dua di Kalabakan.

“Manakala, bagi meningkatkan keselesaan anggota yang bertugas mengawal keselamatan di persisir pantai, Pos-Pos Operasi Persisiran Pantai (OPP) juga telah dimuktamadkan untuk menjalani proses naik taraf. Buat masa ini, proses menaik taraf dua OPP telah pun berjalan.

“Justeru, untuk meningkatkan keberkesanan dan keupayaan operasi ATM di persisir pantai Sabah, penstrukturan semula daripada sudut command and control penugasan anggota di bawah ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM telah dilaksanakan dan kini diletakkan di bawah Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2),” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyerahan Helikopter Operasi Marin (HOM) AW139 dan seterusnya merasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) serta Skuadron 503 di Pangkalan TLDM, Teluk Sepanggar, di sini pada Jumaat. (1 Julai)

Sementara itu, tambahnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (UDM) juga telah mengaturgerak sembilan unit pesawat pejuang Hawk, empat unit Helikopter EC 725, satu unit C130 dan radar.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut memaklumkan inisiatif baharu bagi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) iaitu sebanyak 20 unit Bot Tempur baru akan diperolehi menerusi kaedah GOCOM. Bot-bot ini dijangka beroperasi mulai bulan Februari 2023.

“Sebuah Radar CSS 1206 berteknologi Amerika Syarikat diletakkan di kawasan tanggungjawab (KTJ) Op PASIR. Hasil hubungan erat diplomasi pertahanan Malaysia-Amerika Syarikat, kos meningkatkan keupayaan radar ini ditanggung sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.


Justeru, semua pos penempatan Operasi PASIR akan ditingkatkan infrastruktur. Ia dijangka siap pada penghujung tahun 2022,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : MUIS jalin kerjasama dengan beberapa universiti bangun HHS...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya