HomeUtamaKPDNHEP Sabah catat rampasan lebih RM3 juta dalam tempoh enam bulan

KPDNHEP Sabah catat rampasan lebih RM3 juta dalam tempoh enam bulan

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menghasilkan sebanyak 697 kes sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan nilai rampasan lebih RM3 juta.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, kes itu adalah hasil pemerikaan di 48,789 premis di seluruh Sabah.

“Sebanyak 697 kes telah dihasilkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun yang lalu dengan jumlah kompaun sebanyak RM132,700 dan denda sebanyak RM2,000 serta nilai sitaan atau rampasan sebanyak RM3,768,066.67 atas pelbagai kesalahan.

“Pihak kita berharap agar semua peniaga termasuklah premis-premis yang berada di luar bandar untuk terus mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, para peniaga juga diseru untuk bekerjasama dengan Kerajaan bagi memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya ayam, telur ayam dan minyak masak serta tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut).

Katanya, anggota penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa berada di lokasi- lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Dalam pada itu, KPDNHEP Sabah turut mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di sebuah pasar raya di Kingfisher di sini petang tadi sempena pelaksanaan penentuan harga maksimum Ayam dan Telur Ayam (ATM) yang diketuai Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah Zulfamy Mat Udi.

Kerajaan telah melaksanakan penentuan harga ayam dan telur ayam bermula 5 Februari 2022 sehingga 5 Jun 2022 lalu dan diteruskan perlaksanaannya pada 6 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Georgie berkata, bagi memastikan keberadaan bekalan barang terutamanya ayam, telur ayam dan minyak masak, pihak KPDNHEP telah melancarkan OPS ATM Fasa 1 sejak 23 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Katanya, OPS ATM dilancarkan bertujuan untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.

“Berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah OPS ATM Fasa 1, sebanyak 455  pemeriksaan  telah  dijalankan di seluruh Sabah.

“Daripada jumlah ini terdapat lima kes dihasilkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020,” katanya.

Tambahnya, bermula hari ini juga, Kementerian akan menggerakkan pemantauan bagi Fasa 2 OPS ATM ke atas Minyak Masak Sawit Tulen bagi memastikan harga jualan adalah berpatutan dan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut).

“Mana-mana peniaga yang didapati berbuat demikian akan diberi notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan disiasat atas kesalahan mencatut.

“Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Walaubagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh daripada pembekal lebih rendah,” katanya

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular