HomeUtama46 tapak berpotensi dimajukan sebagai tapak Geo-pelancongan

46 tapak berpotensi dimajukan sebagai tapak Geo-pelancongan

Read Time:2 Minute, 45 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

RANAU : Sebanyak 46 tapak yang memiliki ciri-ciri kajibumi yang istimewa telah dikenalpasti dan berpotensi untuk dimajukan sebagai tapak Geo-pelancongan  selain boleh dimanfaatkan penduduk tempatan sebagai tarikan pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, nilai budaya dan adat resam masyarakat yang berkait rapat dengan kehidupan penduduk kawasan Geopark Kinabalu juga dapat diangkat sebagai nilai tambah kepada produk eko dan geo-pelancongan.

“Tapak Geopark ini akan dinilai oleh pasukan panel penilai yang dilantik oleh pihak UNESCO Global Geopark yang akan bermula pada 18 hingga 22 Julai ini.

“Saya difahamkan bahawa pelbagai usaha kerja berpasukan dalam kalangan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan masyarakat setempat telah dilaksanakan sebagai persediaan untuk memenuhi pelbagai kriteria penilaian yang dikehendaki oleh pihak UNESCO sebagai tapak geopark global,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program jelajah kemuncak bersama pihak berkepentingan daerah Ranau di sini hari ini.

Jafry berkata, pada masa ini, sebanyak lebih kurang 200 kumpulan rakan Geopark dalam kalangan persatuan pelancongan serta pengusaha perhotelan, inap-desa dan sebagainya telah dikenal pasti terlibat aktif dalam persediaan ini.

Ini termasuklah Persatuan Pelancongan Ranau, Persatuan Pelancongan Komuniti Kota Marudu dan Persatuan Pelancongan Kadamaian.

Katanya, sebagai salah satu strategi ke arah pengiktirafan ini, satu pelan tindakan untuk beberapa program telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan semua yang terlibat berupaya membantu Kerajaan Negeri Sabah menyebarkan maklumat kepada dunia luar berkaitan keistimewaan tapak-tapak kajibumi atau geologi selain memastikan kriteria tapak Geopark  Global dipenuhi.

“Saya percaya Geopark Kebangsaan Kinabalu, dengan nilai geologi antarabangsa yang berprestij ini akan memudahkan proses penilaian dan akan berhasil diisytiharkan sebagai tapak Geopark Global UNESCO pada tahun ini.

“Pengiktirafan ini akan melakar sejarah baru bagi Sabah apabila memiliki tiga tapak yang diiktiraf  oleh UNESCO, tambahan kepada dua lagi kawasan tapak yang telah diistiharkan terdahulu, iaitu Taman Kinabalu-Tapak Warisan Dunia pada 2 Disember 2000; dan Rizab Manusia dan Biosfera Banjaran Crocker pada 12 Jun 2014,” katanya.

Katanya, apabila berjaya mendapat pengiktirafan ini, Sabah akan menyertai Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai hanya dua tapak di mukabumi ini yang mendapat pengiktirafan “mahkota tiga serangkai”  yang berprestij daripada badan dunia UNESCO, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Sementara itu, Jafry berkata, seiring dengan halatuju rancangan Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, inisiatif Geopark pada dasarnya adalah salah satu pendekatan pembangunan mampan serantau untuk menyokong ‘Matlamat Pembangunan Lestari’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, matlamat itu adalah berkaitan dengan Matlamat No.1 (Pembasmian semua bentuk kemiskinan), Matlamat No.8 (Pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi), Matlamat No. 14 (Pemuliharaan Alam Sekitar Marin); dan Matlamat No.15 (Pemuliharaan Alam Sekitar Terestrial).

“Usaha ini sejajar dengan rancangan Kerajaan Sabah di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang mensasarkan pembangunan pesat sektor pelancongan sebagai industri yang lebih dinamik dan rancak, membangunkan ekonomi utama negeri serta dapat menarik pelabur asing datang ke Sabah menjelang tahun 2025.

“Saya amat kagum dan berterima kasih di atas sambutan dan kerjasama berbagai pihak berkepentingan dan masyarakat Daerah Ranau, Daerah Kota Belud dan Daerah Kota Marudu di atas sokongan padu ke atas inisiatif Geopark Kinabalu.

“Semoga perolehan pengiktarafan taraf sebagai Geopark Global UNESCO ini nanti akan dapat meningkatkan lagi peluang-peluang sosio-ekonomi dan pekerjaan berasaskan Geo-pelancongan dan seterusnya memastikan rakyat dapat hidup harmoni dengan alam semulajadi di negeri Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular