Semak segera agensi kerajaan negeri dan GLC yang tidak berprestasi – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semakan segera terhadap perjanjian dan kontrak yang membabitkan semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak berprestasi dan merugikan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan kepada pegawai yang ditugaskan untuk memeterai perjanjian dan kontrak terbabit, agar mengambil kira kepentingan negeri.

“Sebab itu saya ingin menegaskan di sini agar mana-mana agensi kerajaan apabila buat perjanjian, pastikan (perjanjian) itu mengambil kira kepentingan negeri. Pegawai yang terbabit juga termasuk pegawai undang-undang kena tengok dan baca dengan teliti setiap isi kandungan perjanjian,” tegasnya.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Siri Ke-120 Bil 1/2022, di Menara Kinabalu, pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan; Pengarah Yayasan Sabah selaku Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan; Lembaga Pemegang Amanah dan pegawai kanan Yayasan Sabah.

Hajiji turut merakamkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan ahli lembaga yang baharu iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainudin Aman dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman sekali gus mahu mereka akan bekerjasama untuk membantu Kumpulan Yayasan Sabah terus cemerlang pada masa hadapan.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut mengumumkan pencapaian ICSB, jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah yang berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM424 juta berbanding RM112 juta pada tahun 2020.

“Kenaikan ini adalah sebanyak RM312 juta atau empat kali ganda dari tahun sebelumnya. Ini sekali gus menjadikan kenaikan tertinggi yang dicatat oleh ICSB dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi pendapatan Kumpulan ICSB, kenaikan ketara daripada RM819 juta pada 2020 kepada RM1.2 bilion pada 2021. Peningkatan sebanyak 45 peratus atau RM369 juta adalah yang tertinggi dicatatkan oleh ICSB sejak 2013.

“Bagi Kumpulan Yayasan Sabah pula, lebihan (surplus) sebelum cukai pada 2021 ialah RM358.12 juta, berbanding lebihan pendapatan sebelum cukai 2020 sebanyak RM18.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM339.62 juta atau 1836 peratus,” katanya.

Peningkatan ketara dalam lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2021 adalah disebabkan peningkatan hasil pada 2021 iaitu berjumlah RM1.2 bilion berbanding pendapatan pada 2020 yang berjumlah RM830.43 juta.

Hajiji juga mahu melihat anak-anak syarikat ICSB diperkasakan agar tidak menjadi bebanan dan masalah kepada Yayasan Sabah.

“Pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Board Of Governor UCSF (University College Sabah Foundation) dan Naib Canselor baharu umpamanya, kita harap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi UCSF.

“Begitu juga dengan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), saya mahu masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan pantas dan dapat menarik lebih ramai pelajar baharu sekali gus membuka peluang lebih ramai anak Sabah melanjutkan pelajaran khususnya
dalam bidang teknikal,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *