HomeUtamaPengisian Program Jerayawara MUTIARA GRS, LPPKN Sabah dipelbagai

Pengisian Program Jerayawara MUTIARA GRS, LPPKN Sabah dipelbagai

Read Time:1 Minute, 42 Second

KENINGAU: Selepas membawa isu berkaitan kesihatan khususnya dalam kalangan wanita, Program Jerayawara siri penjelajahan keempat di Zon Keningau kali ini memfokuskan kepada Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak atau PEKA.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), berkata, program jerayawara kali ini memfokuskan kepada PEKA yang berkaitan aspek pendidikan keselamatan keluarga dan anak.

Menerusi program ini katanya, ia dapat memberi pendidikan, pendedahan dan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, penjaga serta masyarakat tentang isu keselamatan anak, pencegahan kemalangan, kemahiran menyelamat dan asas rawatan kecemasan serta kepentingan menjaga keselamatan keluarga di alam siber.

“Soal keselamatan keluarga tidak boleh dipandang remeh kerana hari ini pelbagai indikator digunakan oleh penjenayah untuk mengganggu gugat serta mengancam keselamatan keluarga.

“Ini termasuklah melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon, pertemuan alam maya menerusi media sosial seperti Facebook, twitter, instagram dan segala bentuk aplikasi sosial yang boleh menghubungkan kita dengan orang yang tidak dikenali.

“Perkongsian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang memfokuskan tentang keselamatan atas talian serta demo CPR (bantuan pernafasan) sebagai tindakan awal menyelamatkan seseorang sekiranya berlaku kecemasan di rumah, adalah satu pengisian yang amat penting,” katanya ketika merasmikan Program
Jerayawara Keluarga Malaysia PEKA @LPPKN Zon Keningau bagi DUN Bingkor dan DUN Liawan sempena Sambutan Hari Bapa di Dewan Terbuka Taman Bandukan Bingkor, di sini pada Selasa.

Program ini adalah kerjasama antara MUTIARA GRS dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah.

Sehubungan itu Juliah berharap semua ilmu yang diperoleh pada hari ini akan menjadikan ibu bapa lebih sensitif, berwaspada dan meningkatkan keselamatan anak di mana sahaja mereka bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.

“Ibu bapa juga perlu memelihara nilai juga mulia dalam kalangan anak mereka dengan memupuk, mendidik dan mendisiplinkan anak supaya dapat melahirkan insan yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Sempena program itu, pelbagai perkhidmatan LPPKN termasuk pemeriksaan kesihatan pakej 1 iaitu BMI, Glukos, Kolesterol dan Tekanan Darah juga diadakan. Pusat Keluarga Bergerak LPPKN juga mengadakan Pendaftaran Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan HPV DNA kepada wanita yang berkelayakan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: SIP tidak ditutup, jadi anak syarikat SMJE – Masidi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular