PUTRAJAYA : Pelaksanaan skim insurans dan takaful agromakanan yang buat permulaan akan memberi perlindungan kepada pesawah susulan tanaman mereka rosak akibat bencana alam atau penyakit, kini di fasa akhir untuk dimuktamadkan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, skim insurans dan takaful itu sedang diperincikan antaranya oleh Agrobank yang menerajui usaha membangunkan skim itu, Kementerian Kewangan dan Bank Negara termasuk perkara berkaitan kadar premium dan jenis perlindungan sebelum ia dilancarkan.
“Skim perlindungan insurans dan takaful ini akan bermula dengan penanaman padi dan akan diperluaskan kepada kumpulan pertanian dan tanaman lain,” katanya kepada media selepas melancarkan Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022 di sini hari ini.
Ronald pada 10 Feb lepas mengumumkan mengenai skim insurans dan takaful agromakanan itu yang antaranya untuk memberi perlindungan pendapatan kepada pesawah yang tanaman mereka rosak akibat bencana alam atau penyakit.
“Kita merupakan antara negara yang masih tidak ada skim insurans. Kita mahu melihat insurans pertanian dapat diwujudkan di negara ini,” katanya menambah kerajaan membelanjakan lebih RM80 juta setahun untuk menampung kerugian dihadapi petani antaranya akibat bencana alam.
Mengenai persediaan sektor pertanian menghadapi musim kemarau, Ronald berkata pihaknya akan mengambil beberapa langkah dan tindakan secara bersama dengan pelbagai kementerian bagi memastikan ia tidak menjejaskan sektor agromakanan negara.
“Kemarau dan banjir merupakan cabaran yang dihadapi oleh sektor agromakanan dan satu cabaran yang berulang dan tentu sekali pelbagai langkah serta tindakan akan diambil oleh kementerian bersama kementerian yang lain.
“Apabila berlaku kemarau contohnya, kita akan bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia dan lain-lain untuk buat pembenihan awan dan sebagainya,” katanya.
Sabtu lepas, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) memaklumkan musim kemarau bagi wilayah Asia Tenggara termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand telah bermula.
Musim kemarau yang dikaitkan dengan permulaan Monsun Barat Daya itu berkemungkinan berlanjutan hingga Oktober 2022. – BERNAMA