KOTA KINABALU: Rakyat khususnya umat Islam di negeri ini dituntut untuk sentiasa bersabar dan berusaha bersama Kerajaan bagi mengatasi cabaran ekonomi yang berlaku pada masa ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, cabaran yang dihadapi kini merupakan satu bentuk pengorbanan yang dilalui sejajar dengan pengertian sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Hari ini juga kita memperingati Hari Raya Korban dimana Mufti Kerajaan Negeri Sabah membaca khutbah selepas solat Aidiladha dengan pesanan yang sangat baik untuk kita berkorban dengan pengorbanan yang luas skopnya.
“Ini termasuklah berkorban untuk negara, berkorban untuk kepentingan perpaduan , berkorban untuk kemajuan dan sedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam kita melaksanakan pengorbanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sabah Sembulan di sini pagi tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Sr Safar Untong.
Arifin berkata, perkara itu adalah antara yang ditekankan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar ketika menyampaikan khutbah pagi tadi.
Katanya, cabaran ekonomi yang dihadapi kini juga menuntut untuk semua pihak bersabar dan berusaha bersama dengan kepimpinan untuk membantu mengatasi masalah berkenaan.
“Alhamdulilah kita sudah diberi kelonggaran berbanding tahun lalu. Kita besyukur kerana keadaan sudah mengizinkan kita untuk bersolat jemaah dengan kapasiti yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Arifin turut mengulas saranan Mufti Sabah dalam khutbahnya mengenai daging korban yang dibolehkan untuk dikongsi dengan saudara atau jiran terdekat sebagai satu cara menyantuni keluarga yang bukan Islam.
“Seperti mana yang disebutkan oleh Mufti Sabah tadi, bagaimana kita menyantuni saudara kita yang bukan seagama dengan kita tapi di kalangan kita mungkin adik kita, abang kita, saudara kita atau keluarga kita yang belum bersama kita.
“Inilah yang disebutkan oleh Mufti Sabah bagaimana jiran tetangga kita sebelah rumah kita tidak dilupakan dalam hal pemberian daging korban ini yang mana itulah salah satu tanda santunan kita kepada keluarga kita yang belum bersama kita,” katanya.