Beri ruang golongan muda pelajari seni budaya melalui persatuan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA BELUD : Golongan muda perlu diberi ruang untuk menyertai aktiviti sosial dalam persatuan khususnya yang melibatkan seni dan budaya di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, melalui inisiatif itu golongan muda akan dapat mempelajari seni dan budaya serta adat resam etnik di Sabah.

“Pada hari ini (semalam) saya telah melancarkan Persatuan Alunan Seni Budaya Sabah dimana ianya berpusat di Tamparuli dan sebahagian lagi ada di kawasan Kadamaian.

“Justeru saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga kampung yang telah menubuhkan satu persatuan seni budaya ini.

“Namun apa yang penting, saya berharap disebalik penubuhan persatuan ini, anak-anak muda perlu diberi peluang dan ruang untuk menyertai satu persatuan yang berlandaskan seni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Persatuan Alunan Seni Budaya Sabah di Dewan Gopog Taginambur di sini semalam.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, golongan muda juga akan dapat diwariskan kepada budaya setempat khususnya yang melibatkan seni muzik kebudayaan yang kurang diminati golongan itu pada masa kini.

Katanya, seni merupakan suatu yang halus dan perlu diterapkan dalam kehidupan anak muda agar menjadi seorang dewas yang mempunyai jiwa kemanusiaan.

“Menerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), kita telah melaksanakan apa yang sudah dirancang sebelum ini dimana banyak seni yang diberi perhatian termasuklah Bahasa,tradisi, amalan yang sesuai dengan zaman masa kini untuk terus dikembangkan.

“Semua ini perlu agar ianya dapat memberi satu lonjakan yang sesuai dan bertahan melepasi zaman.  Seni budaya serta muzik tradisi ini juga seiring dengan industri pelancongan yang amat diperlukan pada masa ini.

“Saya yakin semua ini akan dapat dimanifestasikan menerusi perancangan yang sedia ada.  Hanya tinggal untuk dirancakkan lagi agar ianya segar dan mekar,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *