KOTA KINABALU : Sabah FC tidak banyak melakukan perubahan ketika berdepan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau mengakui mempunyai perancangan tersendiri bagi berdepan dengan pendahulu liga itu.
Katanya, strategi perlawanan adalah bergantung kepada situasi semasa ketika permainan sedang berlangsung.
“Tidak banyak perubahan apabila kita bermain dengan mana kelab sekalipun tapi sudah tentu kita mempunyai perancangan termasuk juga JDT.
“Apabila permainan berlangsung di situlah kita harus memikirkan mengenai strategi pertukaran formasi atau apa yang perlu kita lakukan, ia terpulang kepada keadaan semasa perlawanan,” katanya pada sesi latihan Sabah FC, di Padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Likas, di sini semalam.
Dalam pada itu, Sabah FC dijangka akan menurunkan semua tonggak utama pasukan ketika menentang JDT FC malam ini.
Pada ketika ini Kim Swee berkata, hanya seorang pemain sayap, Dirga Surdi tidak dapat diturunkan disebabkan kecederaan lutut yang dialaminya.
“Yang tidak boleh beraksi hanya Dirga, yang mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament), manakala yang lain semuanya berada dalam tahap yang cukup baik,”katanya.
Baddrol Bakhtiar dan pemain senior Amri Yahyah yang membarisi bahagian serangan, selain pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani, Park Taesu (Korea Selatan) dan Taiki Kagayama (Jepun) serta penyerang baharu kelahiran Portugal, Jose Embalo antara kesebelasan utama yang bakal membawa cabaran Sabah FC malam ini.
Sementara itu, Kim Swee menyifatkan kehadiran ribuan penyokong yang sanggup datang sejak awal pagi untuk membeli tiket di Stadium Likas semalam sebagai satu keyakinan kepada Sabah FC untuk berdepan dengan JDT.
“Kalau kita lihat penyokong yang datang membeli tiket dari awal pagi ini (semalam), ia menunjukkan keyakinan penyokong terhadap Sabah FC.
“Dengan adanya keyakinan ini saya percaya pemain juga akan bertambah semangat untuk mengharungi 90 minit atau 100 minit perlawanan nanti,” katanya.
Stadium Likas dijangka dibanjiri puluhan ribu penyokong malam ini berdasarkan sambutan luar biasa jualan tiket perlawanan secara fizikal semalam dan secara dalam talian yang bermula sejak minggu lalu.
Kim Swee juga berharap, situasi itu bukan saja berlaku ketika kehadiran JDT, malah juga pasukan lain seperti Terengganu dan Selangor yang akan bertandang ke Stadium Likas selepas ini.