HomeIsu tempatanPenduduk mengeluh sukar dapatkan bekalan barang keperluan

Penduduk mengeluh sukar dapatkan bekalan barang keperluan

Read Time:2 Minute, 44 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Selepas masalah kenaikan harga barang menjadi bebanan kepada rakyat di negeri ini, kini timbul pula masalah kesukaran mendapatkan bekalan barang keperluan seperti minyak masak, gula, tepung dan telur ayam di pasaran.

Perkara itu disuarakan oleh ramai pengguna dan peniaga khususnya peniaga yang menjual makanan secara kecil-kecilan yang sangat memerlukan barang-barang keperluan tersebut.

Tinjauan Sabah Media pada Sabtu (17 Julai) sekitar Daerah Putatan dan Kinarut mengenai isu itu mendapati peniaga kecil-kecilan yang menjual produk makanan paling terkesan dengan masalah kesukaran mendapatkan bekalan barang keperluan tersebut.

Peniaga makanan, Ongkiat Meon, 70, dari Putatan berkata, kini beliau sangat terkesan dengan kenaikan harga barang keperluan seperti minyak masak dan gula sebagai bahan utama untuk membuat goreng pisang dan menggoreng produk keropoknya.

Ongkiat Meon menunjukkan gula kastor yang digunakan kerana tidak dapat memperolehi gula biasa di kedai berhampiran.

“Saya terpaksa menggunakan gula jenis kastor dengan harga yang mahal kerana kekurangan bekalan gula biasa, saya juga tidak mahu berhenti untuk menjual goreng pisang untuk pelanggan-pelanggan setia saya, bagaimanapun saya terpaksa naikkan harga jualan kalau dulu tujuh biji pisang goreng dengan harga RM1, sekarang empat biji RM1.

“Saya harap pelanggan juga faham keadaan kami sebagai peniaga kecil-kecilan ini, kami juga berharap pihak berwajib mendengar dan dapat membantu kami untuk menyelesaikan masalah ini,” keluhnya.

Sementara, penjual kuih, Aminah Saibun, 53, dari Kinarut, turut meluahkan rasa kesukaran mendapatkan bekalan bahan untuk membuat kuih seperti tepung, gula, minyak masak dan telur.

Aminah Saibun di gerai kuih muihnya di Pekan Sabindo, Kinarut.

“Saya mencari bahan-bahan ini ke seluruh pelusuk bandaraya Kota Kinabalu, saya berfikir saya akan menemui barang tersebut di sana tetapi hampa, saya berharap walaupun kita dibebani dengan kenaikan harga barang tapi bekalan barang keperluan mestilah mencukupi dan ada di pasaran.

“Saya juga hanya berfikir positif saja dengan kekurangan barang keperluan di pasaran kemungkinan disebabkan orang ramai membeli dengan kadar yang banyak sekaligus setiap kali stok barang sampai kepada pekedai.

“Nasihat saya kepada orang ramai khususnya pengguna ataupun peniaga kecil-kecilan seperti saya supaya berbelanja dengan lebih berhemah dan beringat juga untuk kemudahan pengguna lain,” katanya.

Aminah juga mengusahakan sebuah restoran di Pekan Sabindo selama 10 tahun turut terkesan dengan pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu.

Katanya, perniagaan restorannya merosot dan mendesak beliau menceburi dalam bidang baharu iaitu menjual kuih muih bermula sejak enam bulan yang lalu.

Manakala suri rumah, Nurul Ezaidah Juhuri, 34, dari Kinarut, ibu kepada dua orang cahayamata, meluahkan masalahnya sukar untuk mendapatkan bekalan barang keperluan seperti minyak masak dan gula.

Suri rumah Nurul Ezaidah Juhuri.

“Walaupun harga barang semakin meningkat, saya perlu membelinya juga sebab keperluan untuk keluarga tetapi bahan utama seperti minyak masak dan gula sangat sukar didapati sekarang, sudah hampir sebulan masalah itu wujud, ianya sangat menyusahkan kami.

“Saya ingin tahu adakah barang-barang tersebut hanya dijual untuk para peniaga sahaja? Sebab kebanyakan suri rumah seperti kami susah mendapatkan bekalan barang keperluan itu,” katanya semasa ditemui pemberita Sabah Media di sini hari ini.

“Isu kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan adalah menjadi bebanan kepada rakyat, persoalannya sekiranya barang keperluan mencukupi dan stabil seperti yang diperkatakan pihak berwajib, di mana kami boleh perolehi barangan tersebut?,” ujarnya.

Namun begitu, Nurul tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan bekalan barang keperluan dapurnya dan setiap hari akan ke kedai berdekatan bertanyakan barangan tersebut.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular