SEMPORNA: Sambutan Regatta Lepa yang mengetengahkan unsur budaya dan tradisi diyakini mampu memberi manfaat dan impak positif selain turut menyumbang kepada sektor ekonomi serta sosial masyarakat khususnya dalam industri pelancongan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, perayaan itu juga merupakan satu daripada sambutan perayaan warisan budaya sukuk aum Bajau yang unik selain mempunyai kelainan tersendiri.
“Oleh itu, dengan keunikan ini, ianya telah berupaya menarik ramai pelancong untuk berkunjung sejak tahun-tahun sebelumnya untuk menyaksikan dan memeriahkan sambutan perayaan ini.
“Kehadiran pelancong-pelancong tersebut menjadi sumber aset kepada Kerajaan dalam memperkasakan bidang pelancongan di negeri ini terutamanya dalam aspek pendapatan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Sambutan Pesta Regatta Lepa daerah Semporna di sini semalam.
Majlis disempurkan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Jafry berkata, perayaan Regatta Lepa ini juga telah disenarikan dalam kalender pelancongan negeri.
Katanya, penganjuran sambutan itu tidak dapat dilaksanakan selama dua tahun sebelum ini ekoran pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
“Pada tahun ini kita amat bersyukur dan mengalu- alukan kehadiran pelancong yang sudah mula berkunjung sejak pembukaan sempadan negara.
“Kita bertuah kerana keunikan dan kepelbagaian budaya ini menjadi lambang perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri Sabah dan secara tidak langsung menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, pelbagai acara dan program kebudayaan suku kaum Bajau dipersembahkan untuk tontonan semua lapisan masyarakat pada sambutan utu.
“Saya yakin ia dapat mempromosikan budaya dan keunikan tradisi seterusnya dapat memartabatkan lagi budaya suku kaum ini,” katanya.
Pesta Regatta Lepa-Lepa yang diperkenalkan pada tahun 1994 oleh Majlis Daerah Semporna merupakan satu sambutan bagi meraikan warisan sejarah etnik Bajau di daerah Semporna agar tidak luput ditelan zaman.
Lepa-Lepa yang dihiasi dengan sambu layang dan pelbagai bentuk hiasan yang berwarna-warni mencuri tumpuan pengunjung yang datang.