HomeEkonomiBekalan beras Malaysia mencukupi, simpanan melebihi stok negara jiran - Ronald Kiandee

Bekalan beras Malaysia mencukupi, simpanan melebihi stok negara jiran – Ronald Kiandee

Read Time:1 Minute, 24 Second

BERNAMA

UALA LUMPUR – Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan beras malah simpanan yang ada melebihi jumlah stok di negara jiran, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, melalui perjanjian antara kerajaan dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas), syarikat itu dalam tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menyatakan komitmen untuk meningkatkan simpanan stok padi beras negara daripada 150,000 kepada 290,000 tan metrik.

“Kita mempunyai bekalan beras yang konsisten sepanjang tahun, kita ada stok perdagangan, kita ada simpanan stok dan jumlah keseluruhan adalah lebih tujuh bulan daripada keperluan beras negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ronald turut menyifatkan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas sebagai satu tindakan tepat dalam menampung bekalan beras yang menjadi makanan ruji negara.

Beliau berkata, meskipun berdepan pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan negara, Malaysia setakat ini tidak mempunyai masalah bekalan beras kerana Bernas menjalankan tanggungjawabnya bagi memastikan kekurangan bekalan dalam negara ditampung dengan pengimportan beras.

“Saya ingin katakan bahawa keputusan kerajaan ini merupakan satu keputusan yang tepat dan Bernas telah diletakkan sepenuh tanggungjawab untuk memastikan kekurangan beras negara dapat ditampung dengan pengimportan dari negara luar,” katanya.

Beliau menjawab celahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan mengenai rasional keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas selama 10 tahun sebagai pengimport tunggal beras.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju melanjutkan konsesi Bernas bagi pengedaran beras di Malaysia untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan menambah baik peruntukan sedia ada terutama berhubung pelantikan Timbalan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular