HomeUtamaDUN Sabah : Lapan teras digubal dalam Pelan Strategik TTS 2025

DUN Sabah : Lapan teras digubal dalam Pelan Strategik TTS 2025

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) melalui Taman-Taman Sabah (TTS) kini dalam proses transformasi demi mendepani risiko dan cabaran akan datang.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, sebanyak lapan teras strategik yang komprehensif telah digubal dalam Pelan Strategik TTS 2025.

Katanya, teras strategik itu akan dijadikan panduan dalam memenuhi wawasan dan misi Taman yang ada di negeri ini.

“Antaranya adalah meningkatkan pengurusan taman; mewujudkan tarikan ikonik; membina keupayaan kita; menyasar semula penyelidikan kita dan memperkasakan pendidikan alam sekitar.

Datuk Joniston Bangkuai

“Selain itu, teras itu juga akan meningkatkan dan mempelbagaikan pendapatan kita; meningkatkan pemasaran dan memupuk hubungan dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Joniston berkata, menerusi pelan itu juga, TTS telah menggariskan beberapa perkara untuk pelaksanaan segera antaranya adalah untuk memulakan projek tarikan ikonik untuk mewujudkan konservasi bertaraf dunia seperti The Turtle Islands Park dan juga Kinabalu Eastern Plateau.

Katanya, menerusi inisiatif Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), TTS telah menyenaraikan dua fokus semasa iaitu untuk mewujudkan Mount Kinabalu International High Altitude Training Centre di TTS, Kundasang.

“Selain itu, TTS juga akan memberi fokus untuk membina produk pelancongan yang membawa impak yang tinggi dan pulangan yang cepat seperti skuba rangka kapal, bebola terumbu dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Joniston berkata, TTS telah mensasarkan penyediaan infrastruktur kemudahan pelancongan alam semulajadi Taman.

Katanya, sebanyak 20 lokasi berpotensi di Sembilan buah Taman di seluruh Sabah telah dikenalpasti sesuai dibangunkan sebagai tempat tarikan pelancongan.

“Pelbagai konsep pembangunan dan produk eko-pelancongan yang bersesuaian boleh dibangunkan untuk menonjolkan keunikan kawasan Taman di lokasi berkenaan.  Anak syarikat TTS iaitu Sabapak Eco Sdn Bhd yang berperanan merancang kepada pembangunan pelancongan di kawasan Taman-Taman Sabah ini.

“Disamping itu juga, dari aspek kemudahan capaian, TTS telah menambahkan inisiatif pendigitalan sebagai matlamat jangka panjang dalam Perancangan Strategik Taman 2025.

“Antaranya adalah mensasarkan pembangunan sistem aplikasi tempahan dalam talian dan juga pangkalan data (database). Rangkaian/capaian internet di semua stesen-stesen Taman juga dinaiktaraf, penggunaan peralatan berteknologi terkini serta penerapan budaya ICT dalam pengurusan Taman,” katanya.

Katanya, ini bagi memberikan kemudahan kepada pelancong/pelawat menggunakan atau melayari perkhidmatan Taman secara ‘end to end services’ dengan lebih mudah.

Dalam perkembangan lain, Joniston berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM24.1 juta bagi kerja-kerja membaik pulih, memulihara dan memperkasakan Kawasan TTS.

Katanya, ianya juga adalah bagi memastikan infrastruktur pelancongan TTS sentiasa dalam keadaan selesa dan baik serta kualiti perkhidmatan yang memuaskan.

“Manakala Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sejumlah RM 13.8 juta untuk pembangunan pelancongan di kawasan Layang-Layang, KM4 Gunung Kinabalu yang meliputi pembinaan tambahan bangunan asrama untuk para pendaki gunung sepertimana di Panalaban. Projek ini dijangka siap pada awal tahun hadapan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya