Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
KOTA KINABALU: Fenomena filem Mat Kilau menjadi inspirasi kepada seorang guru agama, Norazuwan Mohd Yussof,30, untuk terus berusaha menghasilkan video dakwah menerusi aplikasi TikTok.
Beliau yang bertugas di salah sebuah sekolah agama rendah swasta di Kota Kinabalu mengakui baharu sahaja membuka akaun TikTok pada 22 Julai yang lalu.
“Syukur, Alhamdulillah saya tidak menyangka untuk menang pertandingan video nasihat ini. Pengisian yang saya ambil ini adalah berdasarkan sebuah komik dan berkaitan sebuah hadis.
“Kebetulan pada masa ini, filem Mat Kilau juga turut tular (viral) dan saya jadikan itu sebagai antara pengisian untuk saya jadikan sebuah video nasihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai Johan pertandingan mencipta video TikTok kategori nasihat sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Menerusi video berdurasi selama satu minit itu memaparkan mengenai adab menguap yang dipaparkan oleh seorang murid sekolah dan diberikan nasihat oleh seorang ustaz.
Sehingga hari ini, video yang dipaparkan menerusi akaun TikTok @norazuwanmohdyussof itu telah mencapai lebih 764,000 tontonan.
Norazuwan berkata, video itu disiapkan hanya mengambil masa selama sehari bersama dengan murid sekolah
“Seperti yang kita sedia maklum, video TikTok ini cepat tersebar. Sebagai seorang muslim, saya gunakan platform ini sebagai salah satu tempat untuk menyebarkan dakwah berunsurkan nasihat.
“Jika tiada halangan, saya akan teruskan untuk buat pengisian dakwah selepas ini, mudah-mudahan ia akan dapat memberi manfaat kepada semua yang menyaksikan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Arifin berkata, kategori baharu yang diadakan itu merupakan satu langkah yang baik untuk mendekati generasi muda dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islam.
“Hari ini kita ada dua kategori baharu iaitu pertandingan video TikTok kategori nasihat dan kategori dokumentari yang jumlah penyertaannya sangat memuaskan,” katanya.