HomeUtamaLebih 3,000 hadir meriahkan Sambutan Hari Pahlawan Negeri Sabah

Lebih 3,000 hadir meriahkan Sambutan Hari Pahlawan Negeri Sabah

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Lebih 3,000 anggota keselamatan pelbagai agensi termasuk penjawat awam dan orang ramai hadir memeriahkan sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Padang Merdeka Kota Kinabalu di sini pagi tadi.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan acara tabik hormat Pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri tiga pegawai dan 130 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin selepas menerima tabik hormat Diraja daripada Ketua Kawalan Kehormat Utama.

Sejurus selepas itu, acara diteruskan dengan tiupan paluan akhir ‘The Last Post’ oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik acara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Hadirin juga bertafakur selama 30 saat bagi mengenang perajurit negara yang terkorban semasa mempertahankan negara sebaik bacaan puisi pahlawanan yang bertajuk Citra Warga Tatkala Tersirat Makna Cintanya Terhadap Tanah Air Tercinta yang dideklamasikan oleh Sukor Usin atau lebih dikenalisebagai Hasyuda Abadi.

Kemuncak acara diteruskan dengan persembahan khas pahlawan yang disampaikan oleh sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (pantomim) mengenai Peristiwa Konfrantasi Indonesia Maysia pada 29 Disember 1963 di Kalabakan.

Turut membuat persembahan pancaragam dari anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum tiupan ‘Rouse’ disampaikan Pancarangan PDRM.

Tun Juhar diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri selaku pengerusi jawatankuasa sambutan, Datuk Seri Masidi Manjun kemudian melawat gerai pameran di sekitar Padang Merdeka.

Pada majlis berasingan, Tun Juhar turut melancarkan Bulan Kebangsaan peringkat negeri Sabah dan kempen Kibar Jalur Gemilang serta pelepasan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia anjuran Jabatan Penerangan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular