KUALA LUMPUR : Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah menerusi tiga pakej kerja baharu WP28,WP29 Dan WP30 yang melibatkan laluan dari Sandakan Mile 32 sehingga ke Sungai Baoto sepanjang 60.8 kilometer (60.8km) dijangka akan siap pada suku keempat tahun 2024.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Kementeriannya akan terus menyenggara dan membaiki jalan di sepanjang laluan tersebut untuk keselesaan pengguna.
Katanya, bagi jalan yang termasuk dalam fasa pembinaan Projek LPB, kerja-kerja penyenggaraan akan dilaksanakan oleh kontraktor Pan Borneo.
“Manakala bagi Jalan Persekutuan yang tidak termasuk dalam fasa pembinaan Projek LPB, kerja-kerja penyenggaraan akan dilaksanakan oleh Konsesi Jalan Persekutuan yang dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Arthur berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada pengguna jalan tersebut khususnya bagi laluan FT22 Kota Kinabalu – Sandakan.
Justeru itu katanya, Kementeriannya telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Jalan Telupid – Sandakan bertujuan untuk mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengatasi kesulitan pengguna di sepanjang laluan tersebut.
“Hala tuju pasukan petugas khas ini adalah bagi memfokuskan aspek yang berkait dengan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
“Sebagai langkah jangka pendek, Kementerian telah meluluskanperuntukan sebanyak RM10.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja tersebut telah bermula pada awal Julai 2022 dan lokasi yang kritikal akan dibaiki terlebih dahulu.
Tambahnya lagi, kerja-kerja pembaikan awalan itu dijangka akan siap pada minggu kedua Ogos 2022.
“Pada masa yang sama, kerja-kerja untuk mengenalpasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pihak perunding yang akan dibentangkan pada mesyuarat Task Force secara berperingkat.
“Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien,” katanya.
Pelaksanaan projek Fasa 1 LPB Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer itu dibahagikan kepada 35 pakej kerja di mana sehingga kini sebanyak 15 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan sehingga Mei 2022 bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah 63 peratus.
Terdahulu, Vivian Wong bertanyakan soalan bilakah Pakej WP28, WP29 dan WP30 Pakej LPB Sabah akan siap dan adakah Kementerian akan terus menyelenggara atau menjaga jalan Persekutuan utama sedia ada dari Sandakan ke Telupid semasa projek Pan Borneo sedang dalam pembinaan.