MAHA 2022 promosi sektor agromakanan, industri asas tani

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 28 Second

KUALA LUMPUR : Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan diadakan bermula Khamis ini adalah bagi mempromosikan sektor agromakanan dan Industri asas tani.

MAHA 2022 yang diadakan selama 11 hari itu juga adalah untuk mengetengahkan kepelbagaian produk, penggunaan teknologi terkini, kejayaan-kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif yang diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam memajukan sektor pertanian negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pameran pertanian terbesar dan berprestij itu turut mempamerkan peluang perniagaan yang ditawarkan oleh industri agromakanan yang kini berkembang pesat.

Program itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Selangor dengan tapak seluas 125 hektar yang mampu menampung kehadiran pengunjung sehingga 100,000 orang sehari.

Katanya, MAHA 2022 pada tahun ini akan diadakan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya atau secara ‘virtual’.

“MAHA 2022 yang bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan itu adalah bertepatan dan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memberi tumpuan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Justeru itu, penganjuran MAHA 2022 ini akan menjadi platform utama dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memacu pemulihan sektor agromakanan negara selain membantu usahawan tani untuk pulih semula dari aspek penjanaan sumber pendapatan dan seterusnya dapat menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato’ Che Abdulla bin Mat Nawi [ Tumpat ] di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ronald berkata, pelbagai aktiviti promosi dan publisiti telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara bagi menguar-uarkan MAHA 2022 serta tarikan-tarikan utama yang terdapat di 22 segmen yang ditawarkan di dalam dewan dan juga kawasan laman termasuk rumah-rumah negeri.

Katanya, sebanyak 1,500 booth pameran dan gerai jualan bakal dipenuhi dengan penglibatan pemain industri dan usahawan tempatan.

“Melalui penglibatan semua pihak yang berkaitan terutamanya pemain-pemainindustri, MAHA 2022 dijangka dapat menghasilkan lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan.

“Di samping itu, beberapa sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) juga akan berlaku sepanjang MAHA 2022 melibatkan nilai pelaburan lebih daripada RM4 bilion.

“Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat agen pemasar dari luar negara sebagai salah satu usaha untuk membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, MAHA 2022 juga menyediakan peluang kerjaya kepada golongan muda serta graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair.

Menurutnya, lebih daripada 100 syarikat akan turut serta dalam program ini yang menawarkan lebih daripada 15,000 kekosongan jawatan dalam pelbagaisektor.

“Selain itu, lebih daripada 250 pocket talk / sharing sessions / seminar / webinar/ konvensyen serta khidmat nasihat terus kepada kumpulan sasar akan diadakan.

“Ini merupakan antara manfaat-manfaat yang bakal terhasil menerusi penganjuran program MAHA pada kali ini,” katanya.

Terdahulu, Che Abdulla bertanyakan soalan sejauh mana persiapan Kementerian untuk menganjurkan MAHA 2022 dalam suasana pasca pandemik selepas empat tahun tidak diadakan serta apakah jangkaan manfaat yang bakal terhasil menerusi penganjuran program MAHA pada kali ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *