Oleh J Evachel John
TELUPID: Sambutan Pesta Kaamatan SK Berayung 2026 menjadi platform memperkukuh penguasaan Bahasa Kadazandusun dalam kalangan murid sambil mengeratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.
Program bertemakan “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” itu berlangsung selama dua hari bermula 9 Jun sebelum mencapai kemuncaknya di Dewan Kampung Berayung pada Khamis.
Pelbagai pertandingan termasuk Piboi’an Sugandoi, Piboi’an Manangon dan Pertandingan Hias Topi Kaamatan dianjurkan bagi mencungkil bakat murid, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk penghargaan terhadap budaya tempatan.
Guru Besar SK Berayung, Renyold Jisli, berkata pertandingan Piboi’an Manangon membantu murid memahami dan menguasai Bahasa Kadazandusun dengan lebih baik selain menggalakkan penggunaan bahasa itu dalam kalangan generasi muda.
“Pihak sekolah berharap pertandingan seumpama ini dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Bahasa Kadazandusun,” katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Dimus Gindau.
Kehadiran yang memberangsangkan mencerminkan sokongan berterusan masyarakat terhadap usaha sekolah memelihara dan memartabatkan warisan budaya tempatan.
Bagi memeriahkan sambutan, pelbagai aktiviti sukaneka melibatkan ibu bapa turut diadakan, antaranya Kupas Kelapa Tua, Boling Kelapa dan Pertandingan Melastik.

Persembahan tarian tradisional Magalai Labuk, Piboi’an Sugandoi dan Piboi’an Manangon menjadi antara tarikan utama apabila murid berpeluang menonjolkan bakat serta meningkatkan keyakinan diri di hadapan khalayak.
Murid prasekolah turut mengambil bahagian menerusi Pertandingan Hias Topi Kaamatan dan Basaan Tongingo Prasekolah bagi membina keyakinan diri sejak usia awal.
Sambutan itu turut mendapat sokongan komuniti luar menerusi kehadiran juri jemputan daripada KDCA Telupid serta Unduk Ngadau Telupid 2026, Cyra Eva Bella Stephen.
“Kehadiran mereka bukan sahaja menyerikan majlis, malah menunjukkan bahawa usaha memelihara warisan budaya memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak.”




