MEMBAKUT: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM15 juta bagi menaik taraf sistem pengairan kawasan penanaman padi di Membakut menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh produktiviti sektor pertanian serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada penduduk mengenai beberapa kawasan sawah di Membakut yang tidak dapat diusahakan sepenuhnya.
Katanya, hasil perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, serta lawatan ke lokasi terlibat, beberapa isu utama berjaya dikenal pasti dan tindakan segera telah diambil.
“Antara perkara yang diberi keutamaan ialah menaik taraf sistem pengairan di kawasan sawah padi Membakut.
“Bagi tujuan itu, kementerian melalui JPS telah memperuntukkan RM15 juta pada tahun ini dan kontraktor bagi projek berkenaan juga telah dilantik,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke kawasan pertanian dan sawah padi di Kampung Pimping, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350 ekar kawasan sawah padi di daerah berkenaan.
Jamawi berkata, selain masalah pengairan, pihaknya turut mengenal pasti isu kekurangan jentera pertanian dan gangguan ternakan yang memasuki kawasan tanaman.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang bagi membantu menyediakan jentera yang diperlukan pesawah.
“Isu mekanisasi merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi meningkatkan minat generasi muda dalam industri penanaman padi.
“Kita akan berusaha membantu dari segi penyediaan mesin, dron dan jentera menuai kerana kemudahan ini mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi mengenal pasti dan menaik taraf kawasan padang ragut untuk mengelakkan lembu serta kerbau memasuki kawasan sawah.
Dalam lawatan itu, Jamawi turut dimaklumkan bahawa kira-kira 60 peratus pesawah di Membakut terdiri daripada golongan muda berusia antara 25 hingga 40 tahun.
Katanya, daripada lebih 120 pengusaha sawah di kawasan berkenaan, sekitar 60 hingga 70 orang merupakan generasi muda yang mengambil alih pengurusan sawah daripada keluarga masing-masing.
“Ini satu perkembangan yang sangat positif kerana semakin ramai generasi kedua meneruskan perusahaan keluarga dalam sektor penanaman padi.
“Perkara ini memberi keyakinan bahawa industri padi masih mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kemudahan dan sokongan mencukupi terus disediakan,” katanya.
Menurutnya, penglibatan golongan muda amat penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah kepada 40 peratus menjelang 2030.
Beliau menegaskan kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, mekanisasi dan sokongan teknikal bagi memastikan sektor padi di Sabah terus berkembang secara mampan.
Terdahulu, Jamawi turut melawat ladang komersial tanaman sayuran buah seperti cili, terung dan timun yang diusahakan oleh usahawan muda berusia 33 tahun, Bryon Chung Sze Vui, yang juga mentor Program Inisiatif Kebun Dapur.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin; Ketua Cawangan JPS Sabah, Ir Jaffri Bahan; Pegawai Daerah Membakut, Yuesri Ismail Yusof; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson R Jaimi; serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.



