HomeUtamaRMHC pertama di Malaysia Timur, bantu ringan beban keluarga dirawat di hospital

RMHC pertama di Malaysia Timur, bantu ringan beban keluarga dirawat di hospital

Read Time:2 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Rumah Ronald McDonald (RMHC) keempat di Malaysia yang bernilai RM3 juta dijangka akan mula dibuka pada suku pertama 2023 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, rumah pertama yang bakal dibuka di Malaysia Timur itu berada di dalam kawasan hospital bagi memudahkan keluarga keluarga pesakit menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, rumah yang dinaik taraf dari Balai Pelawat HWKKS itu akan dilengkapi dengan 16 bilik keluarga termasuk kemudahan lain seperti dapur dan ruang makan, bilik dobi, ruang istirahat, bilik permainan kanak-kanak dan bilik solat.

“Kita menjangka pembinaan akan bermula pada bulan Oktober atau November ini dan dijangka siap pada Mac atau April 2023 jika tiada halangan. Sudah pasti kita mahu supaya ibu bapa anak-anak yang dirawat di HWKKS akan cepat menginap dirumah berkenaan.

Azmir menyampaikan cenderamata kepada Shahelmey bagi mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor

“Di Malaysia, RMHC sudah ada tiga buah dan setiap rumah mempunyai 20 bilik. Bayaran pula kita hanya mengenakan bayaran sebanyak RM5 semalam jika mereka mampu, namun jika tidak berkemampuan pihak hospital dan RMHC akan menaja keluarga tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara RMHC Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi penubuhan RMHC di HWKKS di sini hari ini.

Majlis MoU itu turut disaksikan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan 2 Datuk Aaron Ago Dagang dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Azmir berkata, HWKKS dipilih bagi pembinaan RMHC berikutan jumlah pesakit khususnya kanak-kanak yang ramai di hospital berkenaan.

Shahelmey ketika melawat balai pelawat HWKKS yang akan dinaiktaraf sebagai RMHC

“Kita melihat wad katil kanak-kanak di sini adalah yang terbesar di Sabah dan sudah pasti memerlukan bantuan. Rumah singgah (balai pelawat) sedia ada akan diperbaiki lagi dimana sekarang jenis ‘Dorm’, nanti kita akan tukar kepada bilik sempurna.

“Manakala tempoh penginapan pula adalah bergantung sejauh mana mereka perlukan, sekiranya rawatan lebih tiga bulan, selama itu juga mereka boleh tinggal,” katanya.

Dalam pada itu, Azmir berkata, pihaknya turut merancang untuk membina RMHC kelima di Sarawak pada penghujung 2023 bagi tujuan membantu golongan memerlukan penginapan di hospital.

RMHC adalah kemudahan penginapan sementara atau ‘home away from home’ untuk keluarga yang mempunyai anak yang dirawat di hospital bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dengan kos penginapan yang sangat berpatutan bagi membolehkan ahli keluarga menginap berdekatan dengan anak mereka ketika sedang mendapatkan rawatan perubatan.

Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar

RMHC pertama di Malaysia telah dibina pada tahun 1999, bertujuan menawarkan penginapan yang mudah, selesa dan berpatutan dalam pekarangan hospital kepada keluarga pesakit kanak-kanak selain dapat meringankan beban kewangan dan emosi yang dihadapi keluarga terlibat, terutama daripada golongan B40.

Pembinaan RMHC keempat di negara ini dapat dilakukan dengan jayanya hasil sumbangan ikhlas orang ramai melalui tabung derma RMHC dan kios pesan sendiri yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara.

Selain RMHC di HWKSS yang dijangka dibuka pada 2023, terdapat tiga lagi Rumah yang beroperasi di Semenanjung terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur yang sudah lebih 20 tahun beroperasi, Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur dan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Kini terdapat lebih 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia yang menyediakan penginapan kepada keluarga yang mempunyai anak yang dirawat di hospital-hospital dan fasiliti-fasiliti perubatan berdekatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya