MARDI terbit tiga buku, dokumenkan hasil penyelidikan dan pembangunan pegawai dan kakitangan dalam bentuk penerbitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

SERDANG : Tiga buah buku terbitan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah dilancarkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Pelancaran buku itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan turut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dato’ Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Antara buku yang dilancarkan sempena MAHA 2022 ialah Buku Kilang Tanaman MARDI (Teknologi Moden Pengeluaran Tanaman Makanan), Teknologi Durian MARDI dan MARDI’s Encyclopaedia of Durians.

MARDI dalam satu kenyataan berkata, pelancaran itu memperlihatkan kesungguhan MARDI dalam mendokumenkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh pegawai dan kakitangan MARDI dalam bentuk penerbitan.

“Selain menjadi bukti sumbangan dan kerja kuat MARDI dalam membangunkan dan meningkatkan sektor pertanian negara, penerbitan ini juga akan menjadi inspirasi kepada pegawai dan kakitangan MARDI dalam menghasilkan lebih banyak lagi penerbitan yang boleh dijadikan rujukan dan panduan untuk stakeholders dan kumpulan sasar MARDI.

“Penghasilan teknologi dan hasil maklumat kajian yang telah dijalankan oleh pasukan penyelidik MARDI ini telah digarapkan dalam bentuk penulisan yang diterbitkan dalam buku bertajuk Kilang Tanaman MARDI (Teknologi Moden Pengeluaran Tanaman Makanan) supaya mampu menjadi rujukan kepada petani moden, pelajar dan mereka yang berminat untuk menjalankan pengeluaran tanaman makanan berkualiti dengan teknologi kilang tanaman ini,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu turut berkata, kandungan buku Teknologi Durian MARDI pula ditulis oleh penyelidik MARDI dari pelbagai bidang pengkhususan termasuklah pembiakbakaan, agronomi, pengurusan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai, mekanisasi, ekonomi dan teknologi makanan.

Katanya lagi, buku itu diterbitkan bertujuan untuk menyebarkan maklumat berkaitan penanaman durian serta boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada golongan sasar termasuklah pengusaha tanaman durian, penyelidik, ahli akademik, pelajar dan ejen pengembangan serta orang awam.

Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, buku MARDI’s Encyclopaedia of Durians boleh dijadikan panduan kepada pengusaha tanaman durian, penyelidik, ahli akademik, pelajar dan agen pengembangan serta orang awam yang berminat dengan Raja Buah Malaysia ini.

Ketiga-tiga terbitan terkini MARDI boleh didapati di reruai Penerbitan MARDI, Dewan A dan Laman Sayur sepanjang MAHA berlangsung sehingga 14hb Ogos ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *