SERDANG : Kerajaan kekal komited dalam usaha untuk menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan membanteras ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan industri makanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Kementeriannya akan terus memastikan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.
Katanya, ia bagi memastikan supaya rangkaian bekalan makanan tidak dimanipulasi selain bekalan makanan negara sentiasa tersedia, boleh diakses, selamat serta mampan seiring dengan kerangka sekuriti makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
“Dalam memastikan dimensi ketersediaan dan kebolehcapaian bekalan makanan, Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memastikan sistem makanan negara lebih berdaya tahan dan mampan.
“Sesungguhnya, sistem makanan yang cekap dan berdaya tahan akan meningkatkan pendapatan pengeluar makanan di sepanjang rantaian makanan serta berupaya menyediakan makanan berkhasiat dan berpatutan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.
Justeru itu, Ronald menyeru agar semangat jitu yang dipaparkan oleh semua rakyat di negara ini dapat diteruskan dan diperkuatkan bagi memajukan dan mentransformasikan lagi sektor agromakanan negara beraspirasikan ‘Food Security is a Shared Responsibility’ demi jaminan sekuriti makanan di masa hadapan.
Sementara itu, Ronald berkata, MAHA 2024 akan dianjurkan sebagai sebuah pameran pertanian mega dengan memperluaskan penyertaan lebih ramai para pempamer dan rakan-rakan strategik dari luar negara.
Katanya, ini selari dengan usaha Kementerian untuk memantapkan kolaborasi antarabangsa bagi memperkukuh rantaian nilai eksport dan meningkatkan pertumbuhan pasaran selain menambah baik akses pasaran luar negara bagi pengeluar makanan tempatan.
“Pada masa yang sama, pameran dan aktiviti berkaitan agromakanan di MAEPS juga perlu diteruskan sepanjang masa, sebagai permulaan, laman padi akan menjadi anak angkat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Bahagian Pembangunan Industri Padi bersama Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) untuk dijadikan sebagai tapak agro-pelancongan yang kekal dan pusat latihan kepada peserta, penyelidik dan sebagainya.
“Seiring dengan semangat ini, saya menyeru agar lebih banyak pihak berkepentingan termasuk sektor swasta akan turut sama menyumbang dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan MAEPS sebagai hub agro-pelancongan untuk mempromosikan kepada umum semua subsektor agromakanan,” katanya.
Dalam pada itu, fasiliti kesemua Pavilion Negeri juga boleh digunakan secara optimum bagi terus menonjolkan keunikan kesenian budaya dan kepelbagaian produk agromakanan di Malaysia.
Terdahulu, penganjuran MAHA 2022 telah menampilkan 22 segmen khusus untuk mengangkat sektor agromakanan sebagai salah satu sektor yang berpotensi untuk diceburi oleh seluruh lapisan masyarakat selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana pendapatan.
Pemilihan tema MAHA 2022 iaitu Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan adalah bertepatan dengan tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan termasuk bagi memperkukuh agenda sekuriti makanan negara dalam mendepani pelbagai cabaran.
MAHA kali ini dianjurkan pada ambang bermulanya pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang turut mendokong falsafah yang sama.
Pelbagai pengisian, aktiviti dan program seperti Agro-Edutainment, Agro-Youth, Agro-Tourism, Agro-Trade, Agro-Culinary, Agro Tech, MySeafoodExpo, Agro-Business, Agro-Job Fair, AgroFood Mekanisasi, Agro-Lifestyle dan sebagainya telah dianjurkan.
Program-program yang dianjurkan itu telah menampilkan pelbagai inovasi moden dalam sektor agromakanan berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) sekaligus menyuntik semangat keusahawanan khususnya dalam kalangan belia.
MAHA 2022 melibatkan 1,500 ruang pameran dan jualan yang meliputi laman-laman dan pavilion-pavilion negeri serta tidak ketinggalan makanan popular Malaysia di Food Empire yang mempromosi dan menonjolkan kepelbagaian makanan warisan, fusion dan viral dari setiap negeri.
MAHA 2022 turut memberi ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk menjual produk-produk mereka setelah sekian lama berdepan kesukaran pemasaran berikutan pandemik COVID-19.