HomeUtamaKPM sediakan portal aduan buli

KPM sediakan portal aduan buli

Read Time:2 Minute, 6 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan portal aduan buli pada minggu hadapan sebagai usaha menambah baik pendekatan memerangi, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Beliau berkata ibu bapa dan guru boleh membuat laporan mengenai kes buli di sekolah menerusi tiga kaedah iaitu panggilan telefon, e-mel dan dalam sistem portal itu sendiri.

“Kalau ada kecemasan berkaitan dengan buli ini dan ada mesej yang hendak disampaikan secara sulit, ada platform (portal) yang jelas untuk mereka sampaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Showcase Transformasi Pendidikan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu buli yang dilaporkan berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, namun tidak dapat memberikan komen secara langsung memandangkan MRSM berada di bawah bidang kuasa kementerian lain.

Radzi berkata KPM komited dalam usaha meminimumkan insiden buli di sekolah melalui beberapa tindakan holistik termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi melihat konteks penambahbaikan dalam tatacara dan panduan sedia ada berkaitan buli di sekolah.

Radzi berkata KPM juga akan melancarkan program Sekolahku Sejahtera, Sepakat dan Selamat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri bagi mewujudkan persekitaran selamat di sekolah.

Beliau berkata konsep Sekolahku Sejahtera yang sedang dipraktikkan turut menekankan elemen jati diri pelajar supaya mereka dapat membuat keputusan rasional selain penerapan nilai empati bagi mengelak diri daripada terlibat gejala buli.

“Kita boleh ada macam-macam pemantauan tetapi kalau jiwa dan pemikiran anak-anak masih belum jelas, tindakan mereka itu akan membawa kepada kes-kes buli,” katanya.

Terdahulu ketika sesi interaksi santai bersama pelajar dan ibu bapa di program Showcase Transformasi Pendidikan, Radzi berkata KPM telah melaksanakan pelbagai transformasi dalam bidang pendidikan bagi melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat dunia.

Menurutnya setiap keputusan atau dasar baharu KPM termasuk mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tidak dibuat secara terburu-buru.

“Tidak pernah ada sebarang keputusan yang kementerian buat secara tiba-tiba. Setiap keputusan dianalisis satu persatu dan dibuat penelitian mendalam,” katanya.

Beliau berkata secara umumnya, masyarakat terlalu fokus kepada peperiksaan dan tidak mengutamakan kemenjadian murid secara keseluruhannya.

Showcase Transformasi Pendidikan berlangsung selama tiga hari bermula semalam di pusat beli-belah Alamanda di sini yang antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan.

Turut berlangsung sebaran maklumat oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Bahagian Matrikulasi, Pra Sekolah, Tingkatan Enam, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Bahagian Pendidikan Khas dan GENIUS dan persembahan kesenian dan kebudayaan sekolah yang telah menempah nama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan. BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama penjawat awam penting, pacu pembangunan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular