BERNAMA
Jawatankuasa interim mengurangkan kesan perubahan iklim di Sabah telah mengambil inisiatif memberi cadangan perundangan kepada kerajaan negeri mengenai pertukaran karbon.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Sam Mannan, berkata, Insiatif tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh satu tahun penubuhan jawatan tersebut dari 1 Ogos lalu hingga 31 Julai tahun depan.
Menurutnya, jawatankuasa itu berpendapat bahawa untuk Sabah menceburi pasaran pertukaran karbon tidak sepatutnya memerlukan pihak ketiga dalam urusan perniagaan kerana negeri itu mempunyai pengalaman bertahun-tahun dan pakarnya sendiri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Cuaca ekstrem di Eropah mencetuskan bencana banjir dan kebakaran hutan serta bencana seperti itu di seluruh dunia, namun tiada di Sabah kerana kita mempunyai begitu banyak kawasan hutan untuk melawan karbon di udara dan berjaya melakukannya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, sekian lama pasaran karbon kurang berkembang tetapi sekarang ia dibangunkan kerana pencemaran, justeru organisasi membeli kredit karbon untuk mengimbangi pencemaran mereka sendiri.
Menurutnya Sabah berhasrat menerajui pasaran itu dengan mewujudkan perundangan pertukaran karbon untuk mengawal selia pasaran tanpa perjanjian melalui pihak ketiga.
Perdagangan kredit karbon adalah sistem berasaskan pasaran yang direka untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global terutamanya karbon dioksida, sekali gus mewujudkan insentif kewangan untuk berbuat demikian.
Sam berkata entiti negeri yang menerajui urus niaga pertukaran karbon di Sabah adalah Yayasan Sabah dan hak itu harus kekal milik rakyat negeri itu.
”Sabah diiktiraf di rantau ini sebagai memiliki tahap tadbir urus terbaik dalam pemuliharaan tetapi perbezaan ketara adalah pada penetapan harga karbon,” katanya.
Sam, bekas Ketua Pemuliharaan Hutan Sabah serta Penasihat Teknikal Perhutanan Sabah kepada Ketua Menteri, berkata, selepas perbincangan selama 10 tahun, kerajaan negeri telah mencapai perjanjian pertukaran karbon melibatkan 80,000 hektar tanah hutan di Kuamut.
Beliau berkata bayaran pendahuluan kepada kerajaan negeri telah dilakukan.
“Berdasarkan urusan perniagaan dengan rakan kongsi, jumlah yang diperoleh setakat ini tidak boleh didedahkan. Bagaimanapun, rakan kongsi kami yang berpangkalan di United Kingdom itu dianugerahkan projek karbon terbaik di kawasan tropika untuk 2022 berdasarkan aset mereka di luar Sabah,” katanya.