SANDAKAN: Tiga orang mangsa rentung dalam satu kejadian kebakaran sebuah rumah di Taman Rajawali, dekat sini, malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.35 malam tadi (19 Ogos 2022).
“Sepasukan Bomba tiba ke lokasi kejadian mendapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal telah terbakar 90 peratus,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sumber air dari Jentera Bomba dan Pili Bomba berhampiran.
“Namun terdapat tiga orang mangsa iaitu dua perempuan dan seorang lelaki dijumpai telah rentung di tingkat bawah bahagian ruang tamu dan mangsa-mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 11.00 malam dan ditamatkan pada jam 1.21 pagi (20 Ogos 2022),” katanya.