HomeUtamaPusat Kebudayaan PRBSS memantapkan sosiobudaya rumpun Bajau Sama

Pusat Kebudayaan PRBSS memantapkan sosiobudaya rumpun Bajau Sama

Read Time:4 Minute, 12 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

TUARAN: Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) hari ini mencatatkan sejarahnya dengan perasmian bangunan Pusat Kebudayaan PRBSS bagi memantapkan sosiobudaya etnik Bajau Sama di negeri ini.

Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kg Lok Batik, Tuaran.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haijiji Noor semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Pusat Kebudayaan PRBSS yang dinanti-nantikan rumpun Bajau Sama itu siap sepenuhnya pada bulan Julai lalu, di kawasan seluas 3.5 ekar di Kampung Lok Batik itu juga menjadi satu lagi tarikan baharu kepada pelancong, selain sebagai mercu tanda etnik yang ada di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, selepas kejayaan menubuhkan PRBSS pada Mei 2012, semua ahli persatuan tidak pernah berhenti berusaha untuk memastikan pembinaan pusat kebudayaan yang dirancang dapat dilaksanakan.

Acara perasmian Bangunan Pusat Kebudayaan PRBSS oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
Hajiji (kanan) bersama tetamu kehormat melawat galeri PRBSS dalam bangunan Pusat Kebudayaan PBRSS selepas majlis perasmian.

“Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat iaitu dalam 10 tahun penubuhan PRBSS, usaha gigih ahli yang berdedikasi termasuk barisan Majlis Tertinggi PRBSS telah membuahkan hasil dengan siapnya Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama ini. Syabas kepada anda
semua.

“Adalah juga menjadi matlamat kami dalam menubuhkan PRBSS dan bangunan Pusat Kebudayaan untuk memperbaiki amalan budaya etnik Bajau Sama agar selari dengan amalan etnik lain.

“Justeru, dengan kejayaan membina pusat kebudayaan ini, saya mahu PRBSS terus konsisten dalam memastikan etnik Bajau Sama tidak dilupakan ataupun terlepas pandang, terutama generasi muda disebabkan oleh perkembangan teknologi yang semakin pesat,” katanya ketika merasmikan Pusat Kebudayaan PRBSS di Kampung Lok Batik, Tuaran, di sini pada Ahad.

Dicadangkan setahun selepas penubuhan PRBSS pada 8 Mei 2012, akhirnya bangunan ini siap pada Julai tahun ini.

Sebagai rekod bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman telah meluluskan tapak seluas 3.5 ekar untuk pembinaan pusat kebudayaan ini, Majlis pecah tanah telah dilaksanakan pada tahun 2017, dengan memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta sebagai kos pembinaan awal bagi pembinaan pusat ini.

Bagi pihak PRBSS Hajiji yang juga Presiden persatuan itu turut merakamkan terima kasih
kepada bekas Ketua Menteri itu kerana pusat kebudayaan ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa bantuan dan kerjasama daripadanya.

Sementara itu, beliau berkata idea untuk menubuhkan sebuah badan untuk menjaga budaya dan tradisi Rumpun Bajau Sama tercetus daripada keinginan untuk memastikan semua yang terkandung dalam Rumpun Bajau Sama dapat dipelihara hingga ke anak cucu.

“Saya masih ingat lagi ketika kami berkumpul di sebuah hotel di Kota Kinabalu untuk menggerakkan idea ini dengan penuh semangat. Hari ini, saya amat berbangga kerana ramai ahli-ahli PRBSS mempunyai fikiran yang sama merangkumi semua etnik Bajau Sama di seluruh pelusuk negeri Sabah, termasuk suku kaum Bajau di sebelah pantai timur Sabah yang berkongsi hasrat yang sama untuk bersatu sebagai keluarga besar Rumpun Bajau Sama.

“Kita semua berasa bangga kerana mempunyai persatuan untuk pelihara dan mempertahankan adat serta kepercayaan dan keaslian budaya serta bahasa etnik Bajau Sama agar terus berkekalan,” katanya.

Hajiji berkata persatuan itu mengiktiraf kerja baik yang telah dibuat oleh persatuan-persatuan seperti United Sabah Bajau Organisation (USBO) yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS).

“Saya percaya kami akan dapat bekerja bersama-sama, bukannya bersaing antara satu sama lain untuk mencapai matlamat bersama bagi mengukuhkan Rumpun Bajau Sama. PRBSS juga berusaha untuk bekerjasama dengan organisasi kebudayaan lain agar kita sama-sama dapat memakmurkan objektif untuk mencapai perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Kita menyedari kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik dengan lebih 30 kumpulan
etnik dan hampir 200 kumpulan sub etnik, merupakan ciri keunikan dan kepelbagaian budaya di negeri ini. Sudah pasti tradisi masyarakat di Sabah akan menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini,” katanya sambil menambah perpaduan dalam kepelbagaian dan warna-warni seni budaya inilah yang menjadikan Sabah unik serta istimewa.

Sehingga kini, Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah setakat ini mempunyai sebanyak 17 cawangan PRBSS di seluruh Sabah, iaitu di Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud,
Tenghilan, Tamparuli, Kuala Menggatal, Kota Kinabalu, Petagas, Papar, Kuala Penyu, Pulau
Banggi, Beluran, Sandakan, Tawau dan Semporna.

Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa beliau akan memohon kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memasukkan dalam kalendar perayaan Sabah bagi merayakan Karnival Budaya Bajau Sama Sabah setiap tahun agar orang ramai boleh hadir dan turut sama merayakannya seperti perayaan Pesta Kaamatan dan sebagainya.

“Kita akan memohon kepada kerajaan khususnya pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memasukkan perayaan Karnival Budaya Bajau Sama Sabah dalam kalendar perayaan Sabah setiap tahun, tetapi tarikhnya belum lagi ditentukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian.

Majlis turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Ronald Kiandee; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Menteri Sains, Teknologi dan Invovasi, Datuk Yakub Khan serta Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato Sri Dr Ruddy Awah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Pengerusi Jawatankuasa Perasmian Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah yang juga Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim serta Presiden dan Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Etnik Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : 12 elemen penting diberi tumpuan tingkat potensi belia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya