KOTA KINABALU: Sempena dengan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 dan Karnival Sains Sabah, U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan beberapa siri Aktiviti STEM@STEMLab Makerspace yang menyasarkan kanak-kanak tadika berumur lima hingga enam tahun.
Program yang berlangsung selama sebulan ini mendapat sambutan memberangsangkan dari sekolah-sekolah tadika sekitar Kota Kinabalu.
Penyelia program, Erda Syawati Dakim berkata, tadika yang menyertai program ini terdiri daripada Pusat Minda Lestari (PML) UMS, Tadika Al-Baghdadi Playtime Centre (APC) Putatan, Tadika Al Hadanah Al Islamiyah dan Al-Baghdadi Playtime Centre (APC) Kingfisher 2 (Tadika Kasih Fitrah).
“Buat masa ini, pihak U-Science tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan kepada tadika-tadika yang terlibat sepanjang program berlangsung.
“Program ini diadakan bertujuan mendedahkan dan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan yang menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Erda lagi, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan pengalaman hands-on serta memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan dalam bilik darjah dan dunia sebenar.
“Di samping itu, program ini juga dapat menyampaikan pengetahuan kepada pelajar bagaimana aplikasi STEM digunakan dalam kehidupan seharian kita,” katanya.
Evelynda Christy Mojutan yang juga penyelia program ini turut menjelaskan yang impak dari program ini dapat mencetus minat pelajar dalam pembelajaran STEM serta membina ciri-ciri pelajar yang kreatif, inovatif dan kolaboratif”.
“Tambahan pula, program ini dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan meluaskan pandangan pelajar terhadap aplikasi sains dalam kehidupan”.
“Aktiviti-aktiviti yang disediakan juga menggunakan barang-barang yang terpakai dan sangat bersesuaian dengan umur kanak-kanak tadika.
Jelasnya lagi, antara aktiviti STEM yang disediakan seperti Miracle Butterflies, Colorful Top, Straw Rocket dan Balloon Hovercraft.
“Bersempena dengan sambutan bulan kebangsaan, aktiviti STEM iaitu Raising Jalur Gemilang juga turut diadakan bagi memeriahkan sambutan,” katanya.
Semua pihak yang ingin membuat lawatan ke U-Science amatlah dialu-alukan dan sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi pihak U-Science di e-mel [email protected].