KOTA KINABALU: Seorang ibu kepada saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa anaknya agak emosi, tertekan dan menangis teresak-esak ketika memaklumkan kepadanya kejadian yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Saksi berusia 41 tahun itu berkata anaknya, yang merupakan saksi ke-65, memberitahu kepadanya bahawa rakannya iaitu arwah Zara telah terjun bangunan asrama dan memintanya untuk mendoakan rakannya tersebut.
Perkara itu dimaklumkan kepadanya pada 16 Julai 2025, sewaktu berada di Stadium Hoki Likas untuk pertandingan hoki.
Bagaimanapun, menurut saksi ke-66, anaknya tidak menceritakan dengan lebih lanjut pada masa itu.
“Hampir tiga bulan kemudian, barulah anak saya menceritakan apa yang terjadi dengan lebih lanjut apa yang dia tahu berkenaan kejadian tersebut. Dia menceritakan kepada saya tentang suatu kejadian yang berkait dengan kes kematian Zara. Menurut anak saya, pada 15 Julai 2025 beliau telah berjanji untuk berjumpa dengan rakannya di Blok A selepas waktu prep, tetapi beliau tertidur. Pada jam lebih kurang 1 pagi, anaknya telah terjaga dari tidur dan beliau telah pergi ke Blok A berjumpa dengan rakannya.
“Anak saya memberitahu bahawa semasa beliau mahu balik ke bilik nya semula di Blok B, beliau ternampak kelibat seorang pelajar perempuan berlegar-legar di aras 3 Blok A,” katanya ketika membacakan kenyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Menurut saksi, anaknya telah naik ke aras 3 dan telah menepuk belakang pelajar perempuan tersebut. Pelajar perempuan tersebut berpusing dan setelah itu, barulah anak saya mengetahui pelajar perempuan tersebut adalah Zara.
“Anak saya memberitahu saya ’Ibu, Zara dalam keadaan menangis dan Zara cakap dia mahu terjun“ dan anak saya berkata kepada Zara “ko ingat ko akan masuk syurga kalau terjun“.
“Anak saya kemudian telah memegang tangan Zara dan membawa Zara masuk ke bilik Zara. Kemudian anak saya telah beredar untuk pulang tidur ke biliknya di Blok B,” katanya lagi.
Saksi berkata anaknya juga ada memberitahu beliau bahawa semasa perjumpaan dengan pelajar secara beramai-ramai di sekolah, terdapat seorang anggota polis wanita telah menyoal beliau dan bertanyakan tentang apa yang beliau tahu.
“Anak saya telah ceritakan semuanya kepada anggota polis wanita tersebut tetapi anggota polis wanita tersebut telah meninggikan suara dan bertanya “kenapa pergi ke blok A pada masa itu?”.
“Apabila angota polis wanita itu meninggikan suara anak saya telah menangis. Kemudian terdapat seorang anggota polis lelaki telah menenangkan beliau dan beliau telah menceritakan semuanya kepada anggota polis lelaki tersebut tetapi anak saya tidak tahu adakah ceritanya ada direkodkan atau tidak,” katanya.
Selepas kejadian yang menimpa Zara, saksi berkata anaknya lebih banyak berdiam diri dan seperti menyalahkan diri sendiri dan selalu “shaking” akibat trauma melampau ekoran dari kejadian di asrama tersebut.
“Apabila kami tanya tentang Zara kepada anak saya, dia hanya berkata kata “Ibu, sedekahkan Al-fatihah saja untuk arwah.” Saya melihat emosi anak saya tidak stabil,” katanya.
Saksi turut memaklumkan kepada mahkamah bahwa anaknya ada memaklumkan bahawa sehari sebelum kejadian beliau ada nampak Zara tidak ceria seperti selalu dan apabila ditegur pun Zara hanya senyum sahaja dan tiada berinteraksi.
“Anak saya menyalahkan dirinya kerana tidak bercakap dengan Zara keranan mungkin sekiranya dia ada bercakap atau berbual dengan Zara, kejadian tersebut mungkin tidak akan berlaku. Sememangnya pada masa itu anak saya sibuk dengan pertandingan dan latihan hoki sekolah,” katanya.
Saksi berkata beliau ada bertanya kepada anaknya mengapa setelah hampir tiga bulan kejadian berlaku baru beliau memberitahu perkara itu kepadanya.
“Anak saya memaklumkan kepada saya bahawa beliau tidak terus memberitahu saya selepas kejadian kerana masih trauma, setiap kali perkara berkenaan Zara disebut atau dibangkitkan, anak saya tidak dapat menjawab dan hanya menangis. Kejadian Zara sangat memberi impak kepada anak saya kerana dia mengenali Zara secara peribadi. Saya dan keluarga cuba sebaik mungkin untuk membantu anak saya,” katanya.
Menurut saksi setelah anaknya memberutahu perkara tentang kejadian tersebut, beliau mengambil keputusan untuk menghubungi salah seorang guru di SMKA Tun Datu Mustapha iaitu Ustazah Shukriah dan telah menceritakan apa yang berlaku. Keterangan beliau kemudiannya telah diambil oleh pihak polis.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada subuh 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Untuk rekod, semalam seorang saksi baharu kanak-kanak tampil di Mahkamah memberi keterangan yang disifatkan sebagai cerita baru.


