KOTA KINABALU : Seramai 200 orang anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang bekerja di lapangan dan berisiko tinggi hadir membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan kanser pada Program Kesedaran Kanser.
Program yang dianjurkan DBKK bersama Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) itu turut dijayakan bersama agensi-agensi Kerajaan dan swasta yang diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu di sini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, menerusi usaha itu juga pihak Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) akan menjalankan saringan Kanser Serviks ke atas 100 orang anggota wanita DBKK secara percuma.
Katanya, ia adalah usaha dan kerjasama yang sungguh hebat dalam menangani isu kesihatan di kalangan pegawai dan anggota DBKK terutamanya penyakit kanser.
“Sememangnya, penyakit kanser merupakan pembunuh senyap yang amat ditakuti dan pemeriksaan awal secara berkala dapat mengurangkan risiko penyakit ini.
“Saya amat menyokong usaha dan komitmen PSKS dalam melaksanakan Program Kesedaran Kanser ini.
“Penganjuran program ini juga adalah bertepatan dengan matlamat ketiga Sustainable Development Goal (SDG) iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (Good Health and Well-Being) yang juga akan membantu DBKK mencapai visinya iaitu Kota Kinabalu Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Kanser. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Robert Lipon.
Noorliza berkata, hasrat itu juga diterjemahkan di dalam pelan tindakan Inisiatif Love KK iaitu di dalam komponen Healthy KK (KK Sihat).
Katanya yang turut berharap agar program pemeriksaan saringan kesihatan itu akan memberikan manfaat kepada anggota DBKK secara keseluruhannya.
“Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur dan juga sukarelawan yang terlibat atas penganjuran program ini,” katanya.