HomeUtama200 nelayan lega, masalah sukar turun ke laut sudah selesai

200 nelayan lega, masalah sukar turun ke laut sudah selesai

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

BEAUFORT: Selepas hampir 20 tahun dibelenggu masalah kesukaran turun ke laut untuk menangkap ikan, seramai 200 orang nelayan kini dapat menarik nafas lega apabila pihak berwajib turun padang membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, beliau mendengar keluhan para nelayan terbabit yang menghadapi kesukaran untuk turun ke laut menangkap ikan disebabkan air terlalu cetek di laluan-laluan sungai yang dikenalpasti mengakibatkan bot-bot mereka tidak dapat bergerak dan terpaksa menunggu sehingga air pasang.

“Susulan masalah itu, saya telah meminta bantuan pihak berwajib khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Beaufort, alhamdulillah, atas kerjasama JPS ini masuk minggu ke-3 projek melaksanakan kerja-kerja satu kilometer mendalamkan dan memelihara Sungai Teluk Bubus dan 400 meter mendalam dan membesarkan muara Sungai Malalamin, Weston.

Kerja-kerja mendalamkan dan membesarkan sedang giat dijalankan Sungai Teluk Bubus dan Muara Malalamin di Weston. – Foto ihsan YB Hj Ruslan Muaharam

“Di mana sungai-sungai ini menjadi laluan utama para nelayan daripada Weston, Lubok dan sekitarnya yang mempunyai halangan untuk turun ke Laut apabila masa air Laut cetek,” katanya semasa dihubungi Sabah Media selepas membuat tinjuan dan melihat sendiri kerja-kerja mendalamkan dan juga membesarkan Sungai Muara Malalamin sepanjang 400 meter dan satu kilometer mendalamkan dan memelihara Sungai Teluk Bubus, Weston, semalam.

Para nelayan yang terbabit melalui laluan sungai tersebut termasuk nelayan dari Lubok, Weston, Kg Nabahan, Kg Suasa, Kg Lago, Kg Jabang, Kg Kukup, Kg Kangsa, Kg Bangkalalak dan Kg Berumbai.

Menurut Ruslan, beliau memberi cadangan kepada pihak JPS Daerah Beaufort untuk mendalamkan terusan ataupun Sungai Teluk Bubus dan Muara Malalamin supaya ianya dapat didalamkan dan dibesarkan agar beban kesulitan para nelayan dapat dikurangkan.

“Cadangan itu dilaksanakan dengan menelan kos lebih RM470,000 yang diperuntukkan oleh kerajaan melalui JPS supaya para nelayan dapat turun ke laut tanpa perlu lagi menunggu air pasang datang dan boleh terus ke laut untuk mencari sumber rezeki,” jelasnya.

Katanya, kerja- kerja yang sedang berjalan ini telah bermula sejak tiga minggu yang lalu dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan ini.

Beliau juga turut menasihatkan kepada para nelayan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di laut untuk menangkap ikan.

“Para nelayan dinasihatkan supaya menjaga keselamatan dan patuh SOP yang telah ditetapkan seperti memakai kelengkapan jaket keselamatan dan memastikan bot diselanggara dengan baik supaya tidak timbul masalah yang tidak diingini berlaku.

“Saya harap kerja-kerja mendalam dan membesarkan sungai ini berjalan dengan baik dan memberikan keselesaan kepada para nelayan di sini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

300 peserta hadir seminar sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular