CYBERJAYA — Seorang penganggur gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati atas kesalahan membunuh tiga saudara angkatnya atas alasan “legal insanity” (hilang kewarasan dari segi undang-undang).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said, turut mengesahkan hukuman penjara 10 tahun dijatuhkan ke atas Luqman Hadi Mustapa, yang berjalan serentak, atas tuduhan cuba membunuh dua adik beradik.
Hakim lain yang turut bersidang terdiri daripada Nordin Hassan dan Hashim Hamzah.
Dalam menyampaikan penghakiman lisan, Nordin berkata, bebanan terletak pada Hadi bagi membuktikan imbangan kebarangkalian untuk mengemukakan pembelaan “legal insanity” mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan lapor portal FMT
Peruntukan itu menyatakan bahawa sesuatu perbuatan tidak menjadi kesalahan apabila ia dilakukan pada masa tertuduh dalam keadaan tidak sempurna akal, tidak berupaya mengetahui sifat perbuatan itu atau sama ada apa yang dilakukan itu salah atau berlawanan dengan undang-undang.
Nordin berkata, pembelaan “legal insanity” diserahkan kepada hakim perbicaraan berdasarkan fakta kes.
“Kami mendapati pembelaan ‘legal insanity’ dengan tepat dibuang berdasarkan fakta dalam kes dan disokong oleh usul undang-undang,” katanya.
Pada 16 Ogos 2019, hakim perbicaraan Ahmad Nasfy Yasin mendapati Luqman bersalah membunuh Mariah Baharim, 61, (kakak kepada ibu angkat Luqman), Hassan A Wahab, 70, (suami Mariah) dan Taufeq Hassan, 22 (anak Mariah dan Hassan) di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim, Melaka, antara 5.50 pagi dan 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.
Dia juga didapati bersalah kerana cuba membunuh anak Mariah, Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, di tempat dan masa yang sama.
Dalam penghakimannya, Nasfy berkata, mahkamah berpendapat tindakan tertuduh tidak konsisten dengan tindakan individu yang tidak sempurna akal.
Katanya, fakta mendedahkan bahawa nenek Luqman tidak dicederakan dalam kejadian itu dan tertuduh terlebih dahulu menyerang mangsa lelaki sebelum mangsa perempuan.
Seramai 25 saksi memberikan keterangan untuk pendakwaan. Apabila pembelaan dipanggil, Luqman terus berdiam diri.
Laporan oleh pakar psikiatri yang telah memeriksa tertuduh diserahkan kepada mahkamah oleh timbalan pengarah Hospital Permai di Johor kerana pakar tersebut telah meninggal dunia.
Bagi rayuan tidak sempurna akal, tertuduh mesti menunjukkan ciri-ciri “legal insanity” dan “medical insanity” (hilang kewarasan dari segi perubatan).
Luqman mempunyai satu lagi hak rayuan automatik kepada Mahkamah Persekutuan.
Dia diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.