TTS jalin kerjasama pelbagai pihak dalam aspek pembangunan industri pelancongan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 56 Second

RANAU : Taman-Taman Sabah (TTS) akan bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk komuniti sekitar khususnya dalam aspek pembangunan industri pelancongan agar manfaatnya  dapat dikecapi bersama.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, kawasan bekas lombong Tembaga Mamut dijangka akan dibangunkan bagi tujuan pembangunan eko-pelancongan mampan, disamping memulih dan mengekalkan keaslian alam semulajadinya.

Katanya, Kabinet Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewartakan kawasan bekas lombong tembaga Mamut yang berkeluasan 2,112 hektar sebagai kawasan Simpanan Alam Semulajadi dibawah Enakmen Taman-Taman 1984 pada 13 Julai yang lalu.

“Impak pelancongan di sekitarnya akan memberi kesan kepada industri ekonomi yang lain yang mana akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar di daerah ini dan termasuklah kepada Negeri Sabah amnya.

“Kawasan ini sebenarnya adalah sangat strategik dimana ianya bersempadan dengan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia dan bekas Lombong Tembaga Mamut pula adalah sebahagian di dalam Tapak Geopark Kebangsaan.

“Ini juga adalah selari dengan halatuju Kerajaan Negeri diperingkat akhir ke arah pengiktirafan Aspiring Kinabalu UNESCO Global Geopark di mana kawasan ini sangat berpotensi untuk pembangunan kawasan Geo-Pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Ekspedisi Saintifik Mamut 2022 Taman Kinabalu di Tapak Bekas Lombong Mamut Ranau di sini hari ini.

Jafry berkata, antara lain potensi pembangunan pelancongan yang dirancang boleh dilaksanakan adalah seperti pembinaan muzium lombong tembaga.

Katanya ianya adalah sebagai sebahagian program pendidikan dan memperingati warisan geo yang terdapat di kawasan berkenaan dan juga pembinaan denai untuk tujuan rekreasi dan program penyelidikan.

“Kita juga sedang mengenal pasti adanya potensi laluan baharu untuk dibangunkan ke puncak Gunung Kinabalu daripada kawasan ini melalui Eastern Ridge sebagai produk pelancongan baharu,” katanya.  

Sementara itu, Jafry berkata, kawasan itu juga berpotensi untuk dibangunkan satu pusat penyelidikan dan pendidikan Taman yang baharu dan moden.

“Antara program yang boleh dilaksanakan menjurus kepada penyelidikan jangka panjang rehabilitasi kawasan bekas lombong dan pemuliharaan secara ex-situ bagi spesies-spesies  endemik.

“Ini akan membuka peluang kepada Sabah untuk bekerjasama dengan pakar-pakar daripada institusi penyelidikan tempatan mahu pun dari luar negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, ekspedisi itu akan diterajui oleh TTS dan beberapa agensi berkaitan akan turut dijemput menyertai ekspedisi ini  yang menjurus kepada bidang kajian yang diperlukan.

Katanya, skop kajian ini akan merangkumi bidang biologi, hidrologi, geologi, sosiologi, toksikologi, biodiversiti, geofizik, kualiti air, kualiti udara dan fitoremediasi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *