HomeUtamaProgram Antara Cinta dan Cita-Cita, membimbing pelajar dalam pembentukan sahsiah diri lebih...

Program Antara Cinta dan Cita-Cita, membimbing pelajar dalam pembentukan sahsiah diri lebih baik

Read Time:2 Minute, 28 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 400 pelajar dari enam buah sekolah menengah di sekitar daerah ini menyertai Program Antara Cinta Dan Cita-cita Zon Kota Kinabalu anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah dan Sekolah Menengah (SM) All Saints pada Khamis. (25 Ogos)

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, program ini bertujuan untuk memberi bimbingan kepada para pelajar tentang pengurusan diri seawal usia remaja dan menekankan agar mengutamakan pembelajaran dan pembentukan sahsiah diri semasa di sekolah serta mengawal perasaan bibit-bibit awal bercinta.

Shahelmey menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta program sambil diperhatikan oleh Pengarah JHEWA Haslina Ismail (dua kiri) dan pengetua SM All Saint Dr. Mary Gambidau (kiri).
Barisan penganjur Program Antara Cinta dan Cita-Cita Zon Kota Kinabalu dari Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah dan guru-guru Sekolah Menengah (SM) All Saints.Foto ihsan JHEWA

“Pengisian Program ‘Antara Cinta dan Cita-cita’ yang bertemakan ‘Generasi Muda Kritis dan Proaktif Tunggak Negara’ ini menekankan tentang kepentingan mengenali diri, menghargai diri dan membina matlamat diri demi menjaga maruah diri amat bersesuaian dengan pembangunan sahsiah pelajar.

“Justeru, pelajar merupakan aset yang berharga kepada negara. Kita perlu memiliki pelajar minda kelas pertama untuk membangunkan modal insan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya pada sidang media semasa merasmikan Program Antara Cinta dan Cita-cita Zon Kota Kinabalu, di Dewan All Saint, di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan salah satu cara untuk membangunkan modal insan ini ialah melalui ilmu pengetahuan dan inovasi. Pelajar perlu sedar tentang peranan mereka sebagai seorang pelajar serta tanggungjawab kepada diri, keluarga dan negara.

“Fokus kepada pelajaran bukannya percintaan. Percintaan yang terlalu awal akan mempengaruhi penumpuan terhadap pelajaran dan lebih parah lagi ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana cinta.

“Maka program ini diadakan kerana kita ingin memberi pendedahan kepada mereka supaya mereka tahu perkara mana yang baik, kurang baik dan mana yang perlu dielakkan agar masalah-masalah sosial dapat kita bendung daripada berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambahnya, program ini juga diadakan adalah kerana penggunaan informasi digital semakin berleluasa dan bimbang pengaruh yang kuat terhadap anak-anak muda sekarang.

“Pada masa kini dunia berada dalam informasi digital dan maklumat yang terbuka tanpa batasan jadi adalah penting pada peringkat awal usia remaja ini yang cenderung untuk mencuba sesuatu yang baru terutamanya timbul bibit-bibit cinta, melalui program ini kita dapat memberikan bimbingan pada peringkat awal supaya mereka tahu membezakan mana yang baik mana yang buruk,” jelasnya.

Program itu juga merupakan salah satu slot program sempena Minggu Bimbingan Dan Kaunseling di SM All Saint iaitu program tahunan yang dirancang bagi meningkatkan sahsiah diri dan kesejahteraan mental murid.

Peserta program adalah terdiri dari pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam. Selain SM All Saint, sekolah-sekolah yang turut serta iaitu SM Tinggi Kota Kinabalu, SMK Perempuan Likas, SMK Inanam, SMK Tebobon dan SM Agama Kota Kinabalu

Majlis turut dihadiri Pengarah JHEWA Haslina Ismail, pengetua SM All Saint Dr. Mary Gambidau dan guru-guru.

RELATED ARTICLES
Utama

Patuhi peraturan, pandu dengan baik ketika musim perayaan – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular