Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kehadiran Miss World 2021 Karolina Bielawska ke negeri ini khususnya buat warga bandaraya Kota Kinabalu bukan saja membawa keceriaan tetapi juga membantu menyemarakkan semangat cinta dan sayang terhadap bandaraya ini.
Karolina hadir pada majlis Miss World Charity Gala Dinner – Beauty With A Purpose yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) sempena Hyperlive Festival Malaysia 2022 diadakan di Magellan Sutera Resort, di sini malam tadi.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pada majlis itu, pihak DBKK turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah manakala RM25,000 untuk Persatuan Talasemia Sabah dan RM25,000 lagi diagihkan kepada Tadika Titian Murni.
“Sumbangan berkenaan adalah hasil dana yang terkumpul daripada jualan meja untuk majlis makan malam amal tersebut,” katanya.
Sementara, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, mengenai program sosial, Kerajaan Negeri sentiasa peka soal kebajikan rakyat dan ini adalah selaras dengan memperingati semangat memberi dan membantu kanak-kanak yang bergelut dengan kanser dan talasemia.
“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sejumlah RM1.25 bilion di bawah Bantuan Khas COVID-19 untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi rakyat serta menyelamatkan pelbagai sektor ekonomi kita yang terjejas teruk,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada masjlis itu.
Jefrrey berkata, inisiatif DBKK dalam Network ‘Love KK’ ada salah satu program sosial yang sangat berguna untuk warga bandar Kota Kinabalu.
“Ini akan menyerlahkan rasa kasih sayang dan kepedulian kita ada antara satu sama lain, sama seperti objektif Network ‘Love KK’ untuk membina tempat tinggal yang lebih prihatin dan inklusif di bandar Kota Kinabalu untuk semua masyarakat di sini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini, syabas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip,”katanya.