KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot yang disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran pada Jumaat lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pada jam 11 pagi bot peronda Maritim Malaysia menahan sebuah bot namun pengendali bot bertindak agresif dengan memecut bot melarikan diri dan tidak memberikan kerjasama.
Katanya, bot terbabit telah meloloskan diri ke kawasan cetek dan menuju ke arah hutan bakau.
“Lebih kurang jam 1.10 petang, bot peronda yang ditugaskan berjaya menjumpai sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan di celah-celah hutan bakau di posisi lebih kurang 0.2 batu nautika timur Tanjung Pegasan, Pitas.
“Bot ditinggalkan tanpa pengendali. Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa beberapa jenis barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Maurice berkata, sebanyak 20 buah tong minyak diesel dengan anggaran 4,000 liter, 60 paket tepung dan 85 kilogram (kg) minyak masak ditemui disembunyikan di dalam bot.
Katanya, bot bersama kesemua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 68,000.
“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan cubaan menyeludup minyak diesel, minyak masak dan tepung.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.