HomeUtamaMasyarakat Tionghua mainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi

Masyarakat Tionghua mainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan terima kasih atas sumbangan masyarakat Tionghua yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

Beliau berkata, peranan masyarakat itu dalam pembangunan ekonomi negeri memang tidak dapat dinafikan.

“Dalam aspek pembangunan dan menjana ekonomi, kita memberi peluang kepada semua rakyat termasuk masyarakat Cina. Tidak boleh dinafikan masyarakat Cina memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Masyarakat Tionghua terkenal sebagai orang yang bijak dalam berniaga dan peranan mereka dalam ekonomi amat penting.

“Kerajaan hari ini juga amat prihatin dan sentiasa bersikap terbuka termasuk dalam memberi peluang kepada setiap pelaburan yang datang untuk pembangunan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung sempena Perayaan Kuih Bulan di Lido Square, di sini malam tadi.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Luyang, Gee Tian Siong.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus membela nasib rakyat di Sabah tanpa mengira suku kaum termasuk kepentingan masyarakat Cina akan terus dijaga oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Kita juga mahu masyarakat Tionghua terus memberi sokongan kepada kerajaan hari kerana kita akan melakukan yang terbaik untuk pembangunan negeri serta rakyatnya,” katanya yang berasa gembira dapat hadir bersama-sama rakyat Tionghua meraikan
Pesta Tanglung.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah untuk meraikan aktiviti kebudayaan masing- masing.

Beliau berkata kebebasan untuk meraikan kebudayaan masing-masing menjadikan Sabah sebagai negeri yang unik serta harmoni.

“Keharmonian dalam kepelbagaian ini perlu kita teruskan. Kita bebas untuk meraikan perayaan masing-masing dan inilah yang menjadikan negeri kita unik.

“Seperti pada malam ini, masyarakat Tionghua di sini (Luyang) meraikan Pesta Tanglung dan kita sama-sama memeriahkannya. Suasana seperti ini perlu diteruskan sampai bila-bila dan kita bersatu sebagai rakyat Malaysia di Sabah.

“Saya berasa amat gembira kerana hadir pada malam ini dan saya melhat ramai masyarakat Tionghua datang untuk meraikan Pesta Tanglung,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular