Kerajaan beri penekanan penting dalam pembangunan makanan di negeri ini – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

TENOM: Kerajaan memberi penekanan penting dalam pembangunan tanaman makanan berikutan fenomena kenaikan harga input pertanian dan gangguan rantaian nilai akibat pandemik COVID-19, yang telah memberi kesan terhadap jaminan makanan yang agak membimbangkan di seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan tanaman makanan diberi penekanan penting di negeri ini berikutan kenaikan harga input pertanian dan gangguan rantaian nilai kesan akibat pandemik COVID-19.

“Walaupun keperluan bagi ayam, telur, susu segar, ikan dan pelbagai tanaman makanan lain adalah mencukupi, namun kita masih kekurangan bekalan beras. Tahap Kecukupan Beras (SSL) setakat tahun 2020 hanya 22.8 peratus.

“Kerajaan telah dan akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan tahap SSL beras negeri. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah membangunkan tanah seluas 11,000 hektar di Semenanjung Dent FELDA Sahabat Lahad Datu untuk tanaman padi.

“Sebagai langkah awal Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan Pertanian akan melaksanakan plot demonstrasi tanaman padi di kawasan berkenaan, ” katanya ketika merasmikan Pesta Bunga 2022 di Taman Pertanian Sabah di sini, pada Ahad.

Jabatan Pertanian Sabah juga giat melaksanakan program penyelidikan dan inovasi ke atas buah-buahan di negeri ini.

“Satu varieti buah Avocado QAV3 dan buah Tarap QTRT telah dilancarkan semasa Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Quoin Hill Tawau pada 20 Ogos lalu. Saya berharap lebih banyak varieti baharu dan teknologi pertanian dapat dihasilkan oleh Jabatan Pertanian Sabah selepas ini,” katanya.

Bagi memacu pembangunan tanaman makanan di negeri ini, beliau berkata beberapa usaha sama dengan pihak swasta turut diadakan termasuklah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat LINACO Sdn Bhd untuk pembangunan tanaman kelapa dan pembinaan kilang memproses produk berasaskan kelapa, pada Mac tahun lalu

“Pada 21 Ogos lalu, satu lagi Notes of Understanding (NoU) telah dimeterai di antara Jabatan Pertanian Sabah dengan Ladang Kelapa PJ Nagus Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn. Bhd. (MKIC), sebuah syarikat usaha sama di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

“Projek ini melibatkan usaha sama berkaitan pengesahan ketulenan bahan tanaman kelapa dan khidmat nasihat teknikal dan teknologi tanaman kelapa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *