HomeUtamaKilang, kedai perabot milikan bumiputera inovasi baharu jana ekonomi di Sabah

Kilang, kedai perabot milikan bumiputera inovasi baharu jana ekonomi di Sabah

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU : Penubuhan dan pengeluaran kilang serta kedai perabot milikan bumiputera di negeri ini merupakan satu inovasi baharu yang mempunyai potensi dalam penjanaan ekonomi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia juga sekaligus dapat membantu usahawan kecil dan sederhana untuk menambah pendapatan.

“Kilang serta kedai perabot milikan bumiputra ini merupakan berita baik untuk semua.  Hal ini kerana rata-rata pembekal perabot di pasaran kebanyakannya milik bukan bumiputera dan membekalkan perabot berasaskan ‘chesterfield’ yang di import dari luar negara. 

“Kita percaya sektor perabot boleh diusahakan oleh bumiputera seperti yang ditunjukkan oleh RZF Sabah dan ini merupakan satu inovasi baharu yang berpotensi untuk menjana ekonomi sekaligus membantu usahawan kecil dan sederhana menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Bilik Pameran sertab Produk Terbaharu RZF Sabah sempena Pesta Sofa Chesterfield RZF Sabah di sini semalam.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, RZF Sabah juga akan memberi peluang kepada 300 orang untuk menjadi ejen dalam menjana pendapatan selain 20 orang negeri ini yang berminat untuk mempelajari proses pembuatan sofa serta latihan kondusif di Kuala Lumpur.

Katanya, RZF Sabah juga dijangka akan membuka kilang dalam masa setahun lagi dan memberi peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya 50 orang tempatan.

“Mungkin ramai yang belum tahu, Chesterfield merupakan rekabentuk ikonik British yang paling terkenal di dunia dalam hal perabot upholsteri.  

“Jenis ini mengekalkan rekabentuk visual yang tersendiri dengan harga yang sangat mahal, saya yakin hari ini, RZF Sabah akan mengeluarkan produk ini dengan harga mampu milik.  Produk hasil tangan kita untuk orang kita.

“Saya juga difahamkan bahawa syarikat yang bermula dengan ‘showroom’ ini memiliki aspirasi dan jenama setanding dengan produk-produk luar negara, dan betapa bertuahnya kita kerana ia kini bertapak di Negeri Sabah,” katanya.

Katanya, semoga kemunculan RZF  Sabah dapat menyebarkan kualiti dalam produk kepada seluruh rakyat Sabah yang ingin mendapatkan produk ini untuk hiasan rumah dan pejabat selain memberi manfaat dalam bentuk sumber pendapatan.

“Hal ini sebenarnya seperti ‘pelangi selepas hujan’ kerana peluang pendapatan rakyat terbuka seusai berperang dengan impak ekonomi pada musim Covid-19. 

“Diharapkan peluang ini diambil oleh rakyat Sabah untuk memenuhi setiap ruang pekerjaan dan menambah pendapatan dengan menjadi rakan kongsi dengan program-program yang telah mereka sediakan,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular