KOTA KINABALU : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Seminar Bencana Alam (BENCANA 2022), baru-baru ini.
Seminar yang bertemakan ‘Memperkasakan Kedayatahanan Bencana Alam Terhadap Perubahan Iklim Era Pasca Covid-19’ itu turut mendapat sokongan daripada Lembaga Geologi Malaysia (BOG), Institut Geologi Malaysia (IGM), Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, seminar tersebut bertujuan membincangkan dapatan kajian dan rumusan berkaitan isu-isu bencana alam serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai aspek bencana yang berlaku di Malaysia.
Katanya, seminar tersebut juga mampu menjadi platform terbaik untuk kerjasama antara UMS dan badan-badan kerajaan dan swasta dalam pengurusan bencana alam.
“Seminar ini mampu membuka peluang kerjasama penyelidikan dan menjadi platform kepada ahli-ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta, badan-badan profesional dan para penyelidik dari institusi penyelidikan yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam pengurusan bencana alam, selain mendapatkan liputan yang lebih meluas melalui penganjuran aktiviti dalam penerbitan berimpak tinggi,” katanya ketika merasmikan persidangan itu.
Seminar yang dijalankan secara maya itu telah menerima banyak penyertaan terutamanya dalam pembentangan kertas kerja yang merangkumi pelbagai skop bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, aliran puing, banjir, ribut tropika, hakisan pantai dan sungai.
Menurut Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, penganjuran seminar pada kali ini merupakan platform terbaik buat para penyelidik muda.
“Seminar kali ini amat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan agensi-agensi kerajaan, badan profesional dan penyelidik dari institusi penyelidikan, malah turut melibatkan pelajar pascasiswazah dari universiti-universiti tempatan.
Tambah Carolyn, seminar ini juga mampu menjadi tempat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai pelbagai aspek isu-isu bencana yang berlaku di negara ini.
“Seminar ini merupakan medan terbaik untuk membincangkan hasil penyelidikan kepada umum bagi menghadapi isu-isu bencana yang melanda serta memberi ruang kepada penyelidik muda untuk berkongsi dapatan kajian mereka berkaitan isu ini.”katanya.
Tambahnya lagi, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik di universiti dan masyarakat perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kedayatahanan masyarakat dalam menghadapi bencana alam di negara ini.
Sementara itu, Dekan FSSA Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, penganjuran seminar tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan situasi negara dalam menghadapi bencana alam berikutan pengaruh perubahan iklim global, yang telah memberi kesan signifikan kepada masyarakat terutamanya dalam aspek ekonomi, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan.
“Seminar ini bukan sekadar melihat dapatan kajian, malah ianya penting dalam membuka ruang perbincangan antara peserta dan menghasilkan satu dapatan secara ilmiah dan saintifik yang dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya.
Seminar ini turut melakukan ekskursi ke tapak-tapak bencana di sekitar Ranau untuk melihat kesan bencana alam seperti tanah runtuh dan kesan aliran puing selepas tragedi gempa bumi yang melanda Sabah pada tahun 2015.