HomeUtamaPidato wadah pupuk semangat patriotisme

Pidato wadah pupuk semangat patriotisme

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Pertandingan pidato berupaya untuk menjadi wadah bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda pada masa ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, selain memupuk semangat patriotisme, pidato juga mengasah bakat, keterampilan dan menampilkan keyakinan yang tinggi bagi melahirkan pemimpin berkaliber pada masa hadapan.

“Peserta membuat kajian fakta dan akan mempraktikkan kembali apa yang mereka sampaikan semasa berpidato di dalam kehidupan seharian mereka.

“Platform ini mampu melatih mereka melaksanakan sesuatu perkara berlandaskan ilmu pengetahuan sekaligus menjadikan individu mempunyai jati diri tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Pertandingan Pidato Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah, di sini semalam.

Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu memfokuskan penglibatan pelajar peringkat sekolah rendah, menengah dan tingkatan enam tersebut mendapat 717 penyertaan sejak 25 Julai lepas.

Ariffin turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Pidato Kebangsaan kerana sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik.

Bagi kategori sekolah rendah, johan dan naib johan dimenangi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Siew Chin Lahad Datu iaitu Florina Mikayla Franky dan Juwita Jaclyn Ning Moktar.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Kaalishah Md Mazin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar.

Sementara itu, johan kategori menengah yang turut membolot anugerah Pemidato Terbaik dimenangi oleh Muhammad Yasin Nizamuddin Roslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad Kota Belud, naib johan Donald Stephen dari SMK Benoni Papar dan tempat ketiga dimenangi Amnah Nuha Sulin dari SMK Gadong Beaufort.

Pemenang tempat pertama kategori tingkatan enam pula dimenangi oleh pelajar dari SMK Abdul Rahim Kudat, Siti Khadijah Kamarudin, naib johan Nur Ain Farhana Asrul Syardi dari SMK Agama Kota Kinabalu dan tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Zaim Fadil Mohd Jusdi dari SMK Agama Mohamad Ali Ranau.

Turut diadakan, satu majlis penyampaian Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada 70 orang pelajar telah memohon dan layak menerima bantuan komputer.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemotong rumput luka tembus di lengan kanan, terkena tembakan senjata tiruan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular