JKM sudah adakan sesi kaunseling kepada pelakon Remaja – Rina Harun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

CYBERJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengadakan sesi kaunseling, Isnin lalu, dengan pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapanya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau memaklumkan, sesi bersama seorang kaunselor itu diadakan di kediaman remaja berkenaan, dan JKM telah mengambil beberapa tindakan susulan.

“JKM sudah mengadakan sesi kaunseling dengan pergi menyantuni pelakon itu, serta mengambil beberapa tindakan susulan dari segi emosi dan sebagainya.

“Pihak JKM akan mengadakan sesi kaunseling susulan selepas ini. Bapa dan pelakon itu juga masing-masing sudah membuat laporan polis, justeru biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka,” katanya lapor portal Berita Harian

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022-2025, di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling susulan dengan remaja berkenaan, dalam masa terdekat.

“JKM akan turut melihat bantuan lain yang sewajarnya kepada pelakon itu yang turut memaklumkan pendapatannya ketika ini hanya ‘cukup makan’,” katanya.

Ditanya mengenai desakan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr Raj Karim, supaya pihak yang menyiarkan temu bual dakwaan pelakon remaja itu dikenakan tindakan kerana dilihat sebagai mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan tinggi, Shaharuddin berkata, perkara terbabit perlu diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Bagi tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak, kita perlu memperhalusinya dan akan bekerjasama dengan SKMM yang mempunyai bidang kuasa menyekat kandungan tertentu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *