KOTA KINABALU : Faktor keletihan menjadi antara punca pemain Sabah FC gagal menyamakan kedudukan selepas ketinggalan jaringan seterusnya tewas ditangan Selangor FC 3-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, situasi ketinggalan jaringan yang sering berlaku itu menyebabkan para pemain perlu mengejar jaringan.
“Selepas kita ketinggalan dua gol seperti perlawanan lepas, kita harus mengejar untuk mendapatkam gol. Kita memerlukan banyak tenaga di mana mereka cuba untuk menyerang dan bertahan.
“Apabila separuh masa kedua, kita keletihan sedikit. Kita cipta peluang tapi tidak disemprunakan dan kita hilang tumpuan. Kita terpaksa mengejar lagi, namun kali ini kita tidak dapat gol penyamaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.
Kim Swee yang nyata kecewa dengan situasi itu turut mengakui Sabah FC hilang tumpuan di bahagian pertahanan menyebabkan gawangnya mudah dibolosi.
Selain itu katanya, banyak peluang gagal disempurnakan dengan baik dan akhirnya terpaksa berdepan kekalahan.
Sabah FC berdepan situasi ketinggalan jaringan sejak beberapa perlawanan sebelum ini namun bernasib baik dapat mengejar dan menyamakan kedudukan atau mencipta kemenangan pada minit akhir.
Berbeza dengan aksi malam tadi, pemain sang Badak gagal mencipta gol penyamaan selepas pasukan pelawat mendapat gol ketiga pada minit ke-75 selepas terikat 2-2 bermula minit ke-40 permainan.
Pada aksi malam tadi, skuad kendalian Kim Swee mula ketinggalan pada minit ke-23 sejurus Selangor mendahului jaringan dengan 1-0 hasil rembatan Mukhairi Ajmal, disusuli gol kedua seminit kemudian hasil rembatan Brendan Gan.
Ketua pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar kemudiannya merapatkan jurang pada minit ke-29, diikuti gol penyamaan 2-2 oleh pemain import Sabah, Jose Embalo pada minit ke-40.
Bagaimanapun, kedudukan yang terikat 2-2 itu berubah pada minit ke-75 selepas pemain import Selangor, Hein Htet berjaya merembatkan jaringan, sekali gus membolehkan Selangor kembali di depan dengan 3-2.
Dalam pada itu, Kim Swee berharap jaringan pertama pemain import Jose Embalo malam tadi akan dapat memberi keyakinan kepada penyerang baharu Sang Badak itu untuk mengharungi baki empat lagi perlawanan Liga Super.
Embalo sebelum ini dikritik penyokong Sabah kerana aksinya kurang menonjol.