SANDAKAN: Mangsa seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Seguntur berhampiran kawasan Taman Kenari Batu 7, di sini ditemui meninggal dunia oleh pasukan Bomba kira-kira jam 8 pagi tadi.(11 Sept)
Mayat mangsa dikenali sebagai Abdul berumur 40-an itu ditemukan dalam keadaan yang tidak sempurna kira-kira 300 meter dari lokasi asal semasa kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata, hari ini operasi mencari dan menyelamat ( SAR ) mangsa memasuki hari ke-3 dilaksanakan kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
“Pasukan Bomba telah menemui mangsa dalam keadaan yang tidak sempurna hanya tinggal bahagian kepala sahaja ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian pada jam 8 pagi tadi.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, ” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Sebelum ini, pihak Bomba menerima aduan mengenai mangsa dipercayai dibaham buaya ketika cuba menyeberangi Sungai Seguntur berhampiran kawasan Taman Kenari Batu 7, Sandakan pada Jumaat (9 Sept) lalu.
Menurut saksi, pada hari kejadian, mangsa yang baru balik dari Masjid Taman Kenari cuba menyeberangi sungai untuk balik ke rumahnya menggunakan rakit buatan sendiri sebelum hilang disambar buaya.