KUALA LUMPUR : Skuad bola sepak Sabah memulakan cabaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX 2022 dengan mencatat keputusan seri 2-2 dengan Terengganu pada saingan Kumpulan C di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini petang tadi.
Sabah yang hanya sekadar mengutip satu mata pada perlawanan suatu ketika mendahului 2-0 hasil jaringan Mohd Nazemizan Naslon pada penghujung babak pertama dan awal babak kedua.
Terengganu merapatkan kedudukan menerusi jaringan Muhd Safwan Mazlan seterusnya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Muhd Muslihuddin Atiq.
Keputusan itu mewajibkan Sabah menang perlawanan terakhir menentang Kelantan pada Sabtu ini bagi merebut salah satu dari dua tempat bagi mewakili Kumpulan C ke suku akhir. Kumpulan C hanya terdiri dari tiga pasukan.
Ketua Jurulatih Sabah, Adzrein Harun berkata, anak didiknya gagal mempertahankan kelebihan apabila dihukum menerusi serangan balas pihak lawan terutama dari arah sayap kiri dan kanan.
Katanya, para pemain diharap akan dapat memberi persembahan dan konsisten yang lebih baik pada perlawanan terakhir nanti.
“Terengganu akan menentang Kelantan pada 15 hb ini iaitu pada hari Khamis. Kita akan manfaatkan dengan menyaksikan perlawanan itu untuk dapat idea bagaimana menghadapi Kelantan nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Turut menyaksikan dan memberi sokongan moral kepada pasukan Sabah ialah warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah serta Majlis Sukan Negeri Sabah diketuai Setiausaha Tetap KBS Sabah, Mansur Asun yang juga Chef de Mission kontinjen SUKMA Sabah.
Sementara itu, sukan berbasikal menawarkan dua pingat emas pertama SUKMA XX menerusi acara ujian masa individu lelaki 40 kilometer (km) dan ujian masa individu wanita 30 km yang akan berlangsung esok.
Sabah akan diwakili Lim Chun Kiat dan Pang Hao Zhe dalam acara ujian masa individu lelaki 40 km.