Hayati, hargai nilai kemerdekaan – Jasnih

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

TUARAN :  Generasi muda khususnya di negeri ini digesa agar terus menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan negara.

Pembantu Menteri Kewangan, Jasnih Daya berkata, kemerdekaan dapat dipertahankan dengan mengukuhkan perpaduan dan keamanan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bahasa.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada negara berdaulat yang mana kerana kemerdekaan inilah kita dapat hidup dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.

“Inilah saatnya bagi kita semua menumpukan rasa taat setia dan meluahkan kecintaan buat tanah tumpah darah kita ini. Dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi, kita dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Merdeka @ Parlimen di Kampung Mengkabong Pantai Dalit di sini semalam.

Jasnih berkata, pihaknya berharap agar program seumpama itu akan dapat diadakan bagi menggelorakan semangat cintakan negara bukan hanya sempena Sambutan Hari Malaysia atau Bulan Kebangsaan, tetapi secara berterusan.

Katanya, program tersebut penting dalam usaha menyemarakkan  lagi semangat patriotisme masyarakat khususnya golongan muda. 

Kemeriahan majlis bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia itu dikongsi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kiulu, Tamparuli, Sulaman dan Pantai Dalit melalui pergerakan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) yang melibatkan 55 buah kenderaan dan 148 peserta dari pelbagai jabatan.

Selain konvoi, antara program yang turut diadakan adalah merdeka@komuniti bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Tamparuli, penyampaian sumbangan dan persembahan artis PENTARAMA.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Tuaran, Malim Supre,Ketua Polis Daerah, DSP Noraidin Awg Maidin, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *